Melihatkan wajahnya yang mulus comel, kami tidak menyangka beliau adalah seorang juruterbang berpangkat Kapten di Air Asia. Berita dan biodata beliau sekarang menjadi viral di media sosial berikutan imej bertudung dan wajah beliau yang sedap dipandang mata. Cerita di sebalik perjalanan beliau juga menjadi inspirasi buat kami. Buat remaja wanita di luar sana, Noor Hafizah Mohd Idrus, seorang juruterbang wanita Air Asia, wajar dijadikan idola di atas kecekalan beliau untuk menggapai impian dari kecil.
Pembabitan Awal
Noor Hafizah Mohd. Idrus, berminat untuk menjadi juruterbang sedari kecil.
Bezanya, impian itu pada awalnya mendapat tentangan daripada kedua ibu bapanya.
Sebaliknya mereka mahu melihat Noor Hafiza berjaya dalam bidang perubatan dan bergelar seorang doktor.
Untuk tidak menghampakan impian orang tua, dia meneruskan pengajian di dalam bidang sains, peringkat matrikulasi di Londang, Melaka walaupun terpaksa melupakan impian untuk terbang tinggi di awan biru.
Disebabkan markah yang tidak begitu melayakkannya untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan, akhirnya anak kedua daripada enam beradik itu meneruskan pengajian dalam bidang multimedia peringkat ijazah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Begitupun setelah mengharunginya selama satu setengah tahun, pengajiannya terbengkalai begitu sahaja tanpa sempat ditamatkan.
Semuanya gara-gara iklan AirAsia yang disiarkan untuk pengambilan kadet juruterbang syarikat tersebut.
Lantas, tanpa berfikir panjang, Noor Hafizah atau lebih mesra disapa Fizah telah memohon tanpa pengetahuan keluarga.
Hari ini, setelah lapan tahun bernaung di bawah sayap AirAsia, anak kelahiran Taiping, Perak itu akhirnya berjaya meyakinkan kedua ibu bapanya bahawa kerjaya sebagai juruterbang mampu dipikulnya.
Pada peringkat awal, emak dan ayah susah juga hendak menerima kenyataan saya menyertai AirAsia sebagai juruterbang. Tambahan pula terpaksa meninggalkan pengajian di UKM.
Tetapi setelah diterima dan lulus temuduga dan saya berjanji akan melakukan yang terbaik, akhirnya mereka menerima dan kini menyokong kuat saya.
Yang pasti, hari ini saya mampu berbangga dengan diri sendiri kerana cita-cita yang diimpikan sejak kecil menjadi kenyataan, katanya sambil tersenyum.
Apa yang lebih membanggakan, beliau merupakan kelompok pertama wanita yang menyertai akademi AirAsia sebagai juruterbang.
Jika bersemuka dengan Noor Hafizah pastinya tidak percayai dia merupakan individu yang mengemudi pesawat Airbus A330 dengan 375 penumpang kerana susuk badannya yang kecil.
Pada masa sama, pengorbanan Noor Hafizah melepaskan pengajian di UKM berbaloi kerana kini beliau berjaya menjadi kapten.
Siapa sangka, penglibatan awalnya dalam bidang penerbangan mendapat tentangan hebat daripada kedua ibu bapanya, hari ini sudah mampu tersenyum bangga dengan kejayaan yang dikecapi.
Secara tidak langsung, dia juga berjaya membuktikan bahawa wanita juga mampu menggerakkan jentera berat dan besar malah keupayaan mereka tidak harus dipandang sebelah mata.
Sumber: Utusan Malaysia
Hari Ini
Kecil kecil cili api. itulah yang boleh digambarkan kepada juruterbang wanita Air Asia X, Noor Hafizah Mohd Idrus. Susuk tubuhnya lansung tidak menggambarkan yang anak berusia 27 tahun ini seorang juruterbang jika tampil tanpa uniform lengkap. Walaupun pertemuan dengannya bukan berlansung di awan biru dan ini kali pertama kami bertemu dengannya, kelibatnya yang beruniform sudah dapat dikenal ketika muncul di Akademi Penerbangan Air Asia, Sepang.
Mula berkhidmat di Air Asia pada 2006 dan kini diletakkan di bawah Air Asia X sejak oktober 2010, Noor Hafizah sudah boleh berlapang dada kerana dengan izin Allah, dia kini (ketika artikel asal ini ditulis) bergelar Senior First Officer, iaitu satu tahap lagi untuk meraih gelaran kapten.
Semakin tinggi terbang, semakin luas pemandangannya melihat alam ciptaan Allah. Tidak hairanlah kecintaannya terhadap pencipta semakin utuh. Kerjayanya yang bertanggungjawab terhadap banyak nyawa menjadikan dirinya tidak pernah leka lebih lebih lagi untuk memenuhi kewajipan pada Yang Maha Esa. Pesanan ibu bapanya supaya tidak meningalkan solat sebaik melangkah ke dunia yang diimpikannya ini, juga sentiasa diingati.
Bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah ini tidak menafikan dia mengalami kesukaran untuk menunaikan rukun islam yang pertama ketika awal pembabitannya dalam dunia penerbangan. Dia mengalami masalah ketika ingin berwudhuk sewaktu bertugas dalam penerbangan, Bagaimanapun, masalah itu tidak dibiarkan begitu saja.
“Saya berjumpa dengan seorang ustaz. Dia memberikan saya panduan berwudhuk ketika berada di dalam kapal terbang. Saya diberitahu oleh ustaz tersebut bahawa kita masih boleh membasuh bahagian kaki tanpa perlu membuka kasut. Ini memudahkan petugas petugas kapal terbang yang sememangnya mempunyai masa yang terhad ” ujar anak gadis ini menyusun bicara.
Solat Bukan Satu Bebanan
Noor Hafizah, antara 17 juruterbang wanita di syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia ini mengakui tidak pernah menggangap solat sebagai satu bebanan. Baginya solat boleh dilakukan di mana mana sahaja dan itu atas kehendak kita sendiri untuk melakukannya atau tidak.
“Ada ruang untuk bersolat di dalam kapal terbang. Tambahan pula setiap penerbangan mempunyai dua juruterbang. Kita boleh bergilir gilir mengerjakan solat, makan, dan memasuki tandas ” ujarnya yang segak berpakaian uniform..
Dia juga tidak mengalami kesukaran dalam menentukan arah kiblat. Pelbagai cara boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat. Berbekalkan ilmu agam yang dimilikinya, semua itu dapat di atasi dengan mudah.
“Menentukan arah kiblat tidak menjadi masalah kerana kompas disediakan. Kita juga boleh menentukan kiblat berpandukan arah matahari terbenam. Lagipun, di dalam kenderaan yang bergerak, mana mana arah kiblat dibolehkan ” akui Noor Hafizah. Tiada alasan bagi mereka untuk meninggalkan solat walaupun berada di awan biru. Penumpang pula boleh solat di tempat duduk sahaja. Ternyata Islam bukan agama yang menyukarkan.
Saat Saat Cemas
Bagi juruterbang, cuaca dan angin merupakan faktor penting yang diambil kira dalam perjalanan ke destinasi. Apabila mengharungi hujan lebat dan angin kuat, ia menjadi saat paling mencemaskan bagi kebanyakan juruterbang.
” Pada masa itu, hujan turun dengan lebat di Kuala Lumpur. Langit lansung tidak nampak. Kapal terbang tidak boleh mendarat ketika itu. Namun ketika belajar dahulu, kami di ajar untuk tidak mempertaruhkan nyawa penumpang, setiap kali sebelum membawa penumpang terbang, seperti memandu kenderaan lain juga, saya membaca selawat serta doa minta dipermudahkan perjalanan ” Noor Hafizah berkongsi amalannya, pada masa yang sama, dia mengakui pengalamannya tidaklah seteruk pengalaman sesetengah juruterbang yang lain.
Saat saat cemas tidak menghalang Noor Hafizah meneruskan kerjaya ini. Minat dan keseronokan “terbang” mengatasi segala galanya.
Sumber : Majalah Anis, Syazwan CDM
Bercerita Tentang Raya Dan Puasa
Menjadi juruterbang wanita di AirAsia juga mengheret Noor Hafizah Mohd Idrus pada pengalaman suka duka pada hari lebaran.
Ujar gadis berasal dari Taiping, Perak ini, tahun ini merupakan tahun kedua dia berpuasa ketika bertugas.
“Paling penat kalau kena terbang pada waktu pagi dengan jarak yang jauh. Terpaksalah buat sedikit persiapan untuk berbuka dalam pesawat,” katanya.
Ujarnya lagi, semenjak bekerja dua tahun lalu, baju raya tidak termasuk dalam senarai persiapan rayanya.
“Paling penting, dapat pulang beraya di kampung, jumpa ibu bapa dan saudara. Baju raya memang tiada dalam senarai!,” katanya.
Sumber: Kosmo
Bercerita Mengenai Penerbangan Pertama
JIKA sekali pandang pada susuk tubuhnya yang kecil dan kurus, pasti ramai menganggap gadis ini masih di bangku persekolahan
JIKA sekali pandang pada susuk tubuhnya yang kecil dan kurus, pasti ramai menganggap gadis ini masih di bangku persekolahan.
Tetapi, di sebalik raut wajah lembut itu, Noor Hafizah Mohd Idrus, 25 (ketika artikel asal ditulis), sebenarnya sudah memiliki kerjaya yang jarang sekali diceburi wanita.
Anak gadis kebanggaan pasangan Mohd Idrus Abdul Hamid (Pengetua Sekolah Menengah Sains Alam Shah) dan Rohaya Kassim (jurutera Telekom Malaysia) kini adalah salah seorang daripada 17 juruterbang wanita di syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia.
Sejak kecil, Noor Hafizah sudah memasang impian untuk membawa pesawat di awan biru dan bersyukur kepada Allah s.w.t yang mengabulkan doanya selama ini.
Bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah ini berkata, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia dan mengikuti program matrikulasi sains, ibunya ada menyatakan harapan untuk melihat anak perempuannya itu menceburi dunia perubatan
Tetapi selepas tamat program matrikulasi, Noor Hafizah ditawarkan mengikuti kursus multimedia di Universiti Kebangsaan Malaysia, jauh menyimpang daripada impian ibunya.
Bagaimanapun, anak kedua daripada enam beradik ini berkata, dia hanya mengikuti kursus berkenaan selama setahun lebih sebelum mengemukakan permohonan menyertai program kadet juruterbang bersama AirAsia.
Ketika hendak menghantar borang permohonan itu pula, keluarga membantah kerana bimbang apa yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran tetapi selepas dia mendapat tawaran, mereka berubah dan kini menjadi pendorong utamanya.
“Keluarga dengan rela hati menghantar saya untuk mengikuti kursus latihan di Akademi Penerbangan Malaysia, Batu Berendam, Melaka selama setahun setengah.
“Saya masih ingat pesan ibu dan ayah sebelum mereka berangkat pulang iaitu supaya tekun belajar serta jangan hampakan mereka.
“Alhamdulillah, biarpun hanya dua wanita saja dalam pengambilan berkenaan, saya lulus dengan baik. Sebaik saja tamat latihan, saya terus menyertai AirAsia sehingga kini,” katanya.
Alah bisa tegal biasa, menurut Noor Hafizah, dia sebenarnya memang gayat jika berada di tempat tinggi tetapi entah kenapa, apabila menerbangkan pesawat, perasaan itu hilang dengan sendiri.
“Penerbangan pertama saya bersama syarikat ini ialah pada pertengahan 2006 ke Kuching, Sarawak iaitu selama satu jam 45 minit.
“Ketika itu perasaan seronok dan gementar bercampur baur kerana gembira impian sejak kecil menjadi kenyataan. Syukur, berkat persediaan yang sebaiknya, penerbangan itu berjalan lancar dan saya mampu melepasinya dengan baik,” katanya.
Menurut Noor Hafizah lagi, setakat ini, dia tidak pernah berdepan dengan sebarang pengalaman buruk ketika bertugas.
Jika cuaca tidak mengizinkan untuk mendarat di sesuatu lapangan, dia akan berbincang dengan kapten juruterbang dan menara kawalan untuk menentukan destinasi berikutnya.
Sebelum berlepas, juruterbang dan pembantu juruterbang perlu terlebih dulu mengira berat keseluruhan pesawat (termasuk penumpang dan bagasi) untuk memastikan tahap kelajuan yang sesuai.
“Untuk menjadi juruterbang, apa yang penting ialah ketajaman penglihatan serta penguasaan dalam bidang fizik, matematik dan bahasa Inggeris.
“Namun, bukan mudah menjadi juruterbang yang bagus kerana ia memerlukan kombinasi latihan berterusan serta pengalaman. Tempoh tiga tahun sebenarnya masih dianggap baru dan saya kini masih dalam proses menimba sebanyak mana pengalaman daripada kapten juruterbang yang lebih senior.
“Untuk itu, saya menjadikan kapten juruterbang wanita pertama AirAsia, Norashikin Che Onn, sebagai idola dan berharap dapat berjaya sepertinya suatu hari nanti,” katanya yang turut mengagumi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Tony Fernandez.
Sesuai dengan umurnya yang masih bergelar remaja, Noor Hafizah berkata dia gemar menghabiskan masa lapang dengan membeli-belah bersama rakan dan keluarga.
Dia mengakui membeli-belah adalah terapi terbaik untuk menghilangkan tekanan dan barangan yang sering menjadi pilihan ialah kasut serta beg tangan.
Dia tidak mengutamakan jenama kerana apa yang penting baginya adalah kualiti dan tidak salah sesekali membeli sesuatu untuk dihadiahkan kepada diri sendiri selepas penat bekerja.
Jika mempunyai cuti panjang, Noor Hafizah biasanya akan meluangkan masa melancong sama ada di dalam atau luar negeri bersama keluarga atau rakan rapat.
“Jadual kerja sebagai juruterbang memang tidak menentu tetapi kami hanya dibenarkan bekerja 100 jam saja dalam tempoh 28 hari.
“Jika terbabit dalam penerbangan di awal pagi, saya biasanya selesai kerja dan pulang ke rumah sekitar jam 3 atau 4 petang. Untuk sesuatu penerbangan, kami biasanya perlu melaporkan kehadiran sekurang-kurangnya 45 minit sebelum waktu berlepas.
“Waktu terluang yang ada itulah saya gunakan untuk mengemas rumah atau melakukan persediaan penerbangan seterusnya,” katanya yang mengakui perlu bersiap tiga jam awal sebelum sesuatu penerbangan.
Pesan Noor Hafizah, bagi remaja yang mempunyai cita-cita untuk bergelar juruterbang sepertinya, teruskan impian dan berusaha gigih.
“Setiap kerjaya mempunyai cabarannya sendiri dan tidak terkecuali jika menjadi juruterbang namun apa yang penting, seseorang perlu mempunyai minat mendalam dan buangkan sikap takut untuk mencuba.
“Jangan sesekali putus asa dalam berusaha mencari yang terbaik untuk hidup kerana masa depan terletak di tangan sendiri,” katanya menutup perbualan.
Sumber: Fairul Asmaini Mohd Pilus – NSTP, SK Pegoh
Profil:
Nama Penuh: Noor Hafizah Mohd Idrus
Nama Samaran: Fizzy Idrus
Umur: 30 Tahun (2014)
Asal: Taiping Perak
Alamat Terkini: Cheras Kuala Lumpur
Ibu: Rohaya Kassim
Bapa: Mohd Idrus Abdul Hamid
Adik beradik: Anak kedua daripada enam beradik
Pendidikan: Kolej Tunku Kurshiah, Kolej Matrikulasi Melaka, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Akademi Penerbangan Malaysia
Kerjaya kini: Kapten Juruterbang Air Asia
Gambar Eksklusif
Like page The Vocket di Facebook