Gabungan Pengilang Beras Malaysia mendakwa harga padi, beras dan benih ditentukan oleh peranan kartel yang dimonopoli empat hingga lima syarikat besar sehingga ada yang mengetepikan arahan kerajaan.

Pengerusinya, Marzukhi Othman mendakwa, situasi itu turut menyebabkan masalah bekalan beras dan isu benih padi berulang setiap musim.

Baca Juga:

Dakwanya lagi, syarikat terbabit mempunyai kilang padi di bawah penguasaan mereka, termasuk mengeluarkan benih dan kartel itu memonopoli lebih 60% pengeluaran beras negara.

“Sistem yang ada perlu diubah dengan mengeluarkan satu sahaja lesen kepada mereka untuk buat pilihan, sama ada lesen kilang padi atau lesen buat atau mengeluarkan benih. Isu kartel ini bukan baharu, malah sudah lama berlarutan,” katanya menurut sebuah Portal Berita.

Portal itu pernah melaporkan kira-kira 71,000 pesawah dalam Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berdepan kerugian sehingga RM40 juta semusim, jika lewat mengusahakan sawah akibat tiada benih padi.

Isu kelewatan mengagihkan benih kepada pesawah di Kedah dan Perlis bawah Mada berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Marzukhi mencadangkan hak dan lesen pengilangan benih padi sah hanya diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Beliau turut meminta kerajaan menyediakan benih 30 hari lebih awal sebelum jadual penanaman padi bermula dan pihak dilantik hanya membekalkan benih kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk diagihkan kepada pesawah setempat.

“Bagi mengatasi isu manipulasi beras pula, kerajaan juga dicadangkan mewujudkan satu sahaja gred beras tanpa perlu label import atau tempatan.”

Sumber