Seorang juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan di Indonesia kerana didakwa cuba menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi kini menjadi tumpuan baharu selepas pihak Kastam Indonesia mendedahkan rakaman CCTV yang dipercayai menunjukkan pergerakan suspek di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

Rakaman itu dikatakan memaparkan suspek mengambil bagasi sebelum melalui laluan khas kru penerbangan.

Namun, hasil risikan dan pemantauan pihak kastam membawa kepada pemeriksaan bagasi yang menemukan 14 bungkusan mengandungi lebih 70,000 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram dengan nilai dianggarkan RM45 juta.

Menurut pihak berkuasa Indonesia, suspek ditahan selepas pegawai kastam mengesan sebuah bagasi mencurigakan ketika pemeriksaan X-ray di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa. Pemeriksaan lanjut menemui 15 bungkusan dadah jenis syabu di dalam bagasi tersebut.

Siasatan turut mendapati suspek mendakwa diupah sebanyak RM50,000 untuk membawa dadah itu ke Jakarta.

Lebih mengejutkan, keputusan ujian air kencing mendapati suspek positif tiga jenis dadah iaitu syabu, ekstasi dan kokain. Pihak berkuasa turut mendakwa suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika mengendalikan penerbangan.

Dalam pemeriksaan ke atas beg miliknya, pegawai turut menemui sebotol kecil berisi air kencing yang didakwa merupakan sampel “bersih” sebelum suspek mengambil dadah.

Menurut pengakuannya, sampel itu disimpan sebagai persediaan sekiranya perlu menjalani ujian air kencing secara mengejut oleh syarikat penerbangan atau pihak berkuasa.

Kes kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Indonesia dan suspek telah ditetapkan sebagai tertuduh mengikut undang-undang berkaitan dadah negara itu.

Menurut pihak berkuasa Indonesia, suspek turut didakwa positif methamphetamine, MDMA dan kokain dalam ujian air kencing. Dia juga didakwa mengaku ini merupakan kali ketiga terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah serta dijanjikan bayaran sekitar RM50,000 bagi penghantaran tersebut.

Di Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini meneliti rakaman CCTV di KLIA serta imej pengimbas bagasi bagi membantu siasatan dan mengenal pasti sama ada wujud rangkaian sindiket yang beroperasi menggunakan laluan udara.