Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini mengenakan denda RM4,000 terhadap seorang kaunselor bagi program eHati selepas dia mengaku bersalah kerana mendedahkan bahagian tubuhnya dalam sebuah program motivasi tahun lalu, satu perbuatan yang dianggap mencemarkan imej Islam.

Hakim Syarie Zainal Abidin Kusmin menjatuhkan hukuman denda itu, atau penjara sebulan jika gagal membayar, ke atas Siti Zaama Rizal Boss, 49 tahun. Tertuduh membayar denda tersebut, petik Free Malaysia Today.

Baca Juga:

Siti Zaama didakwa kerana mendedahkan bahagian tubuhnya dalam keadaan yang dilarang oleh hukum syarak di sebuah dewan di pusat konvensyen di Shah Alam antara jam 8 malam hingga tengah malam pada 29 Sept 2024.

Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara dua kaunselor lain Munirah Hishamshah, 37, dan Bushra Zaki, 41 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa di lokasi yang sama antara jam 2.30 petang dan 6.30 petang pada 30 September tahun lalu.

Mahkamah membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin masing-masing dan menetapkan 5 Mac tahun depan untuk sebutan kes.

Husaini Roslin mewakili pihak pendakwaan, manakala peguam syarie Mazli Abdul Muin dan Yusfa Hanis Yusoff mewakili Munirah dan Bushra.