Dewan Negara tahun lalu telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan undian suara.

RUU dibentangkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad itu antaranya memperuntukkan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ia juga menyaksikan pengguguran peruntukan berkaitan generasi penamat (GEG) iaitu larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Dzulkefly ketika menggulung perbahasan berkata, pengguguran GEG daripada RUU ini adalah keputusan kolektif dan kebertanggungjawaban bersama oleh kerajaan setelah mengambil kira pandangan Jabatan Peguam Negara.

“Berdasarkan pandangan Jabatan Peguam Negara, terdapat isu ketidaksamarataan dan diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan GEG, yang bermaksud memberi layanan berbeza terhadap orang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dan mereka yang lahir selepas atau pada 1 Januari 2007.

“Konsep GEG ini akan menyebabkan layanan berbeza terhadap dua kumpulan yang lahir pada tahun berbeza.

“Oleh itu, Jabatan Peguam Negara mempunyai pandangan peruntukan ini boleh dicabar di mahkamah kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Bukan untuk kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun

Berkesempatan hadir sendiri ke E-Cigarette Summit 2023 di London tahun lalu, penulis kini lebih berpengetahuan tentang bagaimana rokok elektronik dikawal selia di negara-negara Eropah.

Vape dan produk tembakau yang dipanaskan (IQOS sebagai contoh) dilihat sebagai produk alternatif untuk perokok berhenti merokok dan ‘diterima’ dalam masyarakat di sana.

Namun, walaupun diterima antara perkara yang dipandang serius ketika E-Cigarette Summit 2023 ini adalah penggunaan rokok elektronik oleh remaja bawah umur yang semakin meningkat.

Pelbagai cadangan dikemukan oleh para panel antaranya untuk pengilang menghasilkan kotak vape yang tidak flashy ,rekaan seragam pada rekaan kotak rokok serta meningkatkan kadar cukai bagi produk mengandungi nikotin. Semua cadangan ini adalah demi ‘membantutkan’ minat remaja untuk mula merokok.

Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak dari 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus, tahun lalu (2022) dengan pertambahan 9 peratus perokok.

Justeru itu, kawalan rapi terhadap setiap produk yang dijual di pasaran dapat membantu menghalang penjualan rokok elektronik kepada remaja bawah umur. Pihak berwajib juga boleh menjadikan negara di Eropah sebagai panduan dalam merangka undang-undang berkaitan.

Di United Kingdom contohnya, ia merupakan satu kesalahan berat sekiranya penjual menjual produk rokok elektronik kepada remaja bawah 18 tahun. Penjual boleh didenda £2,500 (RM14,889) jika didapati bersalah.

Kembali tegas kenakan tindakan terhadap perokok di tempat awam

Ramai perokok yang kini seperti ‘hilang ingatan’ bahawa merokok di premis makanan adalah satu kesalahan. Mereka seperti bangga dapat menghembuskan asap vape dan rokok ketika melepak di premis makananan.

Dengan kembalinya Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan, diharap agar Kementerian Kesihatan Malaysia dapat kembali aktif dalam menghantar pegawai meninjau premis makanan dan mengenakan tindakan berat kepada para perokok yang tiada common sense ini.

Pilihan terbaik tetap berhenti atau jangan mula

Public Health England menerusi kajian yang dibuat sebelum ini menyatakan rokok elektronik adalah 95% kurang berbahaya berbanding rokok konvensional namun produk alternatif ini tetap mengandungi nikotin yang boleh menyebabkan ketagihan.

Semasa E-Cigarette Summit 2023, Timbalan Ketua Pegawai Kesihatan England, Doctor Jeanelle DeGruchy berkata, “Mesejnya sangat mudah; jika ada pilihan antara merokok atau vaping, pilih vaping. Namun jika perlu pilih antara udara bersih atau vaping, pilih udara bersih,” katanya.

Doctor Jeanelle memberi gambaran bahawa pilihan terbaik adalah untuk tidak merokok tetapi jika sukar untuk berhenti, beralihlah ke alternatif yang kurang membahayakan.