Musim 2024/25 akan dikenang sebagai antara musim paling mencabar dalam sejarah penubuhan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Dari segi prestasi di atas padang, kekangan kewangan hingga isu pengurusan, ia membuatkan kelab dari utara tanah air ini diuji dari segenap sudut.
Baca Juga:
- KDA FC ‘Belum Terkubur’, Rancang Rekrut Ricardo Quaresma Hadapi Musim 2025/26
- Sanusi Md Nor Dedah KFA Bantu KDA FC, ‘Hulur’ RM200,000 Sebulan
- Pemilik KDA FC: Kami Tak Pernah Berniat Nak Bubarkan Pasukan, Usaha Terus Kekal Di Liga Super
Di sebalik segala tekanan dihadapi, pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tampil menitipkan penghargaan terhadap semangat juang buat seluruh warga kelab yang tetap utuh hingga ke akhir musim.

Dalam usaha mengemudi semula hala tuju kelab, Mohd Daud turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Khas iaitu satu entiti khusus yang akan menyelaras proses pembaikan menyeluruh meliputi aspek kewangan, teknikal, pengurusan dan pembangunan akar umbi.
Perkara tersebut didedahkan oleh beliau dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan laman sosial KDA FC, sebentar tadi.
Apa Kata Pemilik KDA FC?
“Musim 2024/25 merupakan antara musim paling mencabar dalam sejarah kelab ini. Saya amat menyedari dan mengakui segala kesulitan yang telah dilalui — baik dari segi prestasi pasukan, cabaran pengurusan, mahupun kekangan kewangan yang menekan.”
“Namun dalam keadaan sukar ini, saya menyaksikan satu perkara yang sangat bernilai — semangat tidak putus asa dalam kalangan pemain, jurulatih, pegawai, dan seluruh warga kerja KDA FC. Mereka tetap berjuang sehingga ke detik terakhir.”
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tulus kepada semua yang telah memberikan komitmen tanpa henti sepanjang musim ini.”
“Keikhlasan dan kesetiaan anda menjadi asas utama kepada segala usaha pemulihan yang sedang kami jalankan.”
“Sebagai pemilik kelab, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hala tuju dan masa depan KDA FC.”
“Oleh itu, saya telah mengambil keputusan untuk menggerakkan satu Jawatankuasa Pemulihan Khas, yang akan berperanan menyelaras proses pembaikan kelab secara menyeluruh — meliputi aspek kewangan, teknikal, pengurusan dan pembangunan akar umbi.”
“Penjelasan berhubung pelantikan Pengarah Teknikal dan pemain luar negara baru-baru ini juga perlu difahami dalam konteks sebenar.”
“Ia merupakan langkah strategik, di saat akhir, untuk menarik minat penaja luar negara sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan kelab — khususnya dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji musim 2024/25. Saya tahu ramai yang mahukan penyelesaian segera, namun tidak semua tampil dengan cadangan praktikal.”

“Maka, saya terpaksa memilih jalan yang membuka peluang baharu untuk membantu kelab ini bangkit semula. Harapan saya, agar semua dapat menilai usaha ini dengan pandangan yang lebih terbuka dan rasional.”
“Pemulihan ini tidak dilakukan secara tergesa-gesa, tetapi dilaksanakan secara berfasa dan berstrategi. Setiap langkah yang diambil adalah bertujuan untuk mengembalikan kestabilan, kredibiliti dan kekuatan sebenar KDA FC.”
“Saya tidak menjanjikan keajaiban, tetapi saya berjanji akan terus bekerja keras untuk memastikan kelab ini bangkit semula sebagai satu pasukan yang lebih kuat, lebih tersusun, dan lebih dihormati — bukan hanya di dalam negara, malah di peringkat serantau.”
“Kita pernah berjaya. Kita sedang diuji. Dan saya yakin — kita akan bangkit semula. Bersama.”