Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) terpaksa ‘meminjam’ Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai lokasi tuan rumah untuk aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 22 September ini.

Langkah itu terpaksa dibuat kerana venue rasmi mereka, Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu ditutup untuk proses naik taraf yang dijangka siap Oktober ini.

Baca Juga:

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, pihaknya telah mendapat persetujuan bersama dengan JDT dan mengambil kira jadual perlawanan yang telah dikeluarkan oleh MFL.

“Stadium Sultan Muhammad IV terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi proses naik taraf jadi kami memohon agar venue perlawanan Liga Super dengan JDT diubah ke SSI.

“Bagi pihak KDN FC, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberikan kebenaran dan hak kepada kami untuk menjadi tuan rumah di SSI.

“Pemilihan venue SSI ini juga dibuat memandangkan perlawanan seterusnya KDN FC adalah menentang Negeri Sembilan FC di Paroi pada 27 September 2024.

“Oleh kerana lokasi kedua-dua venue berada berdekatan maka KDN FC bersetuju mengalihkan perlawanan ke SSI kerana dapat menjimatkan kos pengurusan.

“Kami sedar bahawa permohonan ini adalah di luar kebiasaan namun kami berharap MFL dapat mempertimbangkannya dengan mengambil kira masalah penutupan venue KDN FC,” katanya.

Permohonan KDN FC sudah pun mendapatkan kelulusan MFL hari ini yang mengumumkan pindaan venue perlawanan tersebut.