Ejen pemain dari Korea Selatan, Myeongho Jeong hilang sabar dengan kelab Liga Malaysia yang didakwa menipu pemain import dibawah seliaannya.

Pasukan dimaksudkannya ialah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) apabila dikatakan gagal menguruskan visa 4 pemain import dari Korea iaitu Kim Ri-gwan, Bae Kyeong-hwan, Goo Ah-hwoi dan Byung-ju Jung.

Baca Juga:

Malah, beliau sudah pun membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan isu visa dan tunggakan gaji selama beberapa bulan.

“Saya sudah membuat aduan secara rasmi kepada Fifa pada hari ini. Selepas memberi tempoh dan ruang kepada KDN FC untuk menyelesaikannya namun sehingga kini tiada lagi tindakan susulan.

“Isu ini sudah saya cuba bawa berbincang namun KDN FC seolah tidak menyelesaikannya. Jalan terakhir adalah bawa kepada Fifa dan mungkin KDN FC akan lenyap kelak,” katanya dalam Arena Metro.

Menurut perkongsian menerusi laman instagramnya, beliau mendakwa jurulatih dan pemainnya terpaksa tinggal secara haram di negara ini apabila tidak mendapat visa daripada KDN FC selepas enam bulan.

“Saya pernah bekerja dengan banyak kelab dari Asia, dan saya rasa Liga Super Malaysia adalah paling teruk. FAM perlu menyiasat kelab ini. Mereka tidak bayar gaji selama 3 bulan dan tidak menyediakan visa untuk 6 bulan.

“Pemain dan jurulatih dari Korea tidak boleh terbang ke mana-mana, mereka ketika ini berstatus pendatang haram. Adakah semua ini masuk akal,” katanya.

Jeong turut mendedahkan beliau terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk menyelesaikan masalah yang sepatutnya dilakukan oleh pihak pengurusan pasukan Liga Malaysia.

Sebelum ini, Jeong mendakwa ada lagi pasukan lain dalam Liga Malaysia yang bermasalah dan tidak menggalakkan pemain Korea datang bermain di negara ini.