Sejak akhir-akhir ini, dapat dilihat lambakan kedai kebab dan shawarma di Lembah Klang. Hal ini turut didorong oleh jumlah peminatnya yang semakin meningkat.

Pada kali ini, kami akan menyenaraikan 25 restoran shawarma yang anda pula patut cuba. Sebelum ini, Faiz Azizan telah mencuba semua kedai patin di Temerloh, anda boleh baca artikel patin beliau, kini beliau dan rakan, Zulh dan Fadil ingin berkongsi senarai kedai shawarma pula.

HYPE
Sempena MAHA 2024, Anda Berpeluang Menang Motosikal Setiap Hari Dengan Kempen AgroMAHA
Baca lagi →

Sebelum itu, ada beberapa faktor yang kena kita perhatikan kalau nak cari port kebab di KL. Faktor pertama lokasi, 90% senarai di bawah disaring dan terletak di kawasan Lembah Klang.

Kedua, adakalanya demi mengelakkan situasi beratur panjang dan sebagainya, elok kira kita order menerusi Foodpanda sahaja. Kandatipun, ada restoran yang ada tapak parking yang luas. Contohnya di kawasan UIA, Saba’ Putrajaya dan lain lain.

Ada perbezaan antara shawarma dan kebab. Shawarma dan kebab adalah dua jenis hidangan daging panggang yang berasal dari Timur Tengah, namun terdapat beberapa perbezaan utama antara keduanya.

Shawarma

Sumber: Recipe30

Asal: Shawarma berasal dari Levant (Syria, Lebanon, Jordan, dan Palestin).

Jenis daging: Biasanya menggunakan daging ayam, kambing, atau lembu. Daging diperap dengan rempah-rempah khas Timur Tengah.

Cara masak: Daging dicucuk pada batang besi dan dipanggang secara berputar pada pemanggang vertikal (rotisserie). Daging yang masak akan dihiris nipis-nipis.

Cara hidangan: Shawarma biasanya dihidangkan dalam roti pita atau flatbread dengan pelbagai sayur-sayuran segar seperti timun, tomato, bawang, serta sos seperti tahini, hummus, atau yoghurt.

Kebab

Sumber: wikipedia

Asal: Kebab adalah istilah umum yang merujuk kepada pelbagai jenis hidangan daging panggang dari seluruh Timur Tengah, Asia Tengah, dan beberapa bahagian di Asia Selatan.

Jenis daging: Kebab boleh menggunakan daging kambing, lembu, ayam, ikan, atau kadang-kadang sayur-sayuran.

Cara masak: Kebab biasanya dimasak dengan cara daging dicucuk pada batang besi atau kayu dan dipanggang di atas api terbuka atau gril. Terdapat pelbagai jenis kebab seperti shish kebab (daging dipanggang pada lidi), seekh kebab (daging cincang yang dibentuk pada batang besi), dan lain-lain.

Cara hidangan: Kebab boleh dihidangkan bersama nasi, roti pita, atau sebagai hidangan utama dengan sayur-sayuran dan sos.

Walaupun kedua-duanya melibatkan daging panggang, shawarma lebih khusus kepada daging yang dipanggang pada pemanggang vertikal dan dihidangkan dalam roti pita dengan sayur-sayuran dan sos,

Kebab pula merujuk kepada pelbagai jenis hidangan daging panggang yang dimasak dan dihidangkan dengan cara yang lebih pelbagai.

Berikut merupakan antara senarai kebab dan shawarma yang pernah dicuba oleh kami sekitar Lembah Klang. Harus diingatkan, selera setiap orang berbeza-beza. Oleh itu, penilaian hanyalah mengikut citarasa kami sendiri.

Damascus Bukit Bintang

Boleh saya katakan Damascus merupakan kedai shawarma paling tular di Lembah Klang. Kedai ini juga menyediakan servis dine-in buat para pengunjung. Shawarma ini juga sering dipromosi oleh para pempengaruh.

Alamat: Jln Sultan Ismail, Bukit Bintang, 50250 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Kafe Mahallah Hafsah UIA Gombak

Kafe Mahallah ini berdekatan dengan kolej wanita. Banyak juadah disajikan di kafe mereka. Sangat meriah dan harga juga murah (harga student). Kebab dijual juga sangat sedap.

Alamat: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur

Kafe Mahallah Faruq UIA Gombak

Ini merupakan kafe untuk pelajar lelaki. Banyak sungguh juadah dalam kafe Faruq dan harga memang murah. Anda akan menjumpai penjual kebab di hujung kafe tersebut.

Saya sarankan anda untuk mencuba mix kebab large. Dijamin anda akan berpuas hati dengan kebab di kafe Mahallah Faruq ini.

Alamat: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur

Kafe Mahallah Halimah UIA Gombak

Ini pula kafe wanita dan setakat kami cuba kebab di sini. Sangat sedap dan sangat bargain for kebab bawah RM10 dan ada delivery services.

Alamat: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur

Kafe Mahallah Salahuddin UIA Gombak

Kafe lelaki yang terletak di bahagian hujung blok penempatan lelaki. Berada dalam kompleks pelajar lelaki tak perlu merisaukan anda. Yang perlu anda risau adalah, pelajar penuh di kafe tersebut kerana keenakan juadah disediakan.

Alamat: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur

UIA adalah lubuk shawarma yang sebenar. Harga bawah RM10 tetapi keenakannya mungkin lebih baik daripada kebab di luar sana. Waktu operasi biasanya waktu biasa kafe untuk pelajar. Parking juga luas.

Alqas Aliraqi Restaurant Bukit Bintang

Shawarma di tempat ini memang tiada tandingan. Dagingnya lembut, sos pula memang secukup rasa. Staf pula sangat peramah seolah membuatkan kita berasa berada di rumah sendiri. Memang tak sabar nak datang sini 3-4 kali seminggu. Terbaik!

Alamat: Jalan Beremi, Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Kebab Raihani Jalan TAR
Sumber: Facebook Syawarma Raihani, Kebab Jalan Tar

Kebab lagenda di Jalan Tunku Abdul Razak, Kuala Lumpur. Rasa yang dikekalkan sejak dari tahun 90-an lagi. Memang unik, takkan jumpa kebab daging macam ni kat tempat lain.

Tidak ada mayonis, cuma daging, sos cili dan campuran unik tomato, bawang dan daun ketumbar. Kalau nak rasa yang asli, pilih roti hotdog original, bukan roti pita. Kena booking awal sebelum ambil.

Alamat: 75, Jln Palestin, City Centre, 55100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Shawarma Kebab Sultan

Order di Foodpanda pun okay. Biasanya orang akan nilai makanan dulu. Betul, makanan kat sini memang pelbagai. Dari segi servis, sangat pantas. Kalau datang dalam keadaan lapar gila, tak perlu risau, makanan akan sampai dalam 5 hingga 10 minit.

Alamat: G-73 PLAZA IDAMAN 53100 KUALA LUMPUR

Halab Gate Shawarma

Tergolong dalam kategori kebab viral di Kuala Lumpur. Kualiti makanan memang tip top. Sangat sedap. Sos bawang putih dia memang power. Servis dan masa menunggu pun cepat walaupun selalu ramai orang.

Alamat: Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, 50250 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Al Dayeh Shawarma

Review: Shawarma kebab yang sangat underrated. Satu permata di kawasan ini dengan shawarma daging lembu Terbaik! Ayam panggang juga mantap! Bahagian besar, harga berpatutan, dan kualiti yang konsisten!

Alamat: Jalan Jernai 1, Medan Idaman Business Centre, 53100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Alhamra Express Bukit Bintang

Review: Shawarma yang sangat sedap dengan harga yang berpatutan! Lokasi di tengah Bukit Bintang. Sekiranya anda pernah mencuba shawarma di beberapa lokasi viral di Bukit Bintang, mungkin Alhamra Express antara lokasi yang boleh anda cuba selepas ini.

Alamat: Alamat: 38, Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur

Berkat Madinah Ampang

Salah satu port kebab kegemaran kami. Tempat yang menyajikan hidangan-hidangan timur tengah termasuk dari Lubnan. Tidak hanya menawarkan kebab, restoran ini menawarkan pastri, baklava, kunafa dan basbousa. Sememangnya wajar dicuba buat para peminat hidangan timur tengah.

Alamat: Putra Sulaiman, 17-L1, Persiaran Putra Sulaiman, Taman Putra Sulaiman, 68000 Ampang Jaya, Selangor

Zayn AlSham Bukit Bintang

Betul-betul tepi jejantas monorel. Shawarma kat sini memang sedap, terutama bila minta extra garlic mayo.

Alamat: 24, Jalan Berangan, Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur

Nasi Arab Ta’if

Saya cuba mix grill, kebab kambing dan nasi. Nasi itu sangat sedap. Kebab kambing juga enak dan mengenyangkan.

Alamat: Dataran Sunway, 45, Jalan PJU 5/20E, The Strand, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor

Delicious Shawarma

Salah satu hidden gem yang mungkin anda patut cuba. Terletak di Seri Kembangan, ramai yang fikir ia sebuah kedai kebab biasa tapi sebenarnya tidak. Rasa kebab di sini mungkin setanding dengan restoran di tengah ibu kota.

Alamat: D-9-G, putra walk, Jalan PP 25 Taman Pinggiran putra SEKSYEN 2, Bandar putra permai, Taman Pinggiran Putra, 43300 Seri Kembangan, Selangor

Restoran Dar Hadramout Bangi
Sumber: Facebook Restoran Dar Hadramout Bangi

Alamatnya di kawasan belakang Warta @ Kipmall. Restoran ini menawarkan hidangan Autentik Arab (Yemen) yang berkualiti dengan harga yang lebih murah berbanding restoran Arab lain.

Alamat: Jalan Seksyen 1/16, Seksyen 1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Mozer’s @ Shah Alam

Restoran yang sangat luas dan selesa untuk membawa keluarga menjamah hidangan bersama. Servis yang ditawarkan juga pantas. Kami akan sukakan shawarma yang ditawarkan di restoran ini.

Alamat: 03-0G-01 DVIDA BUSINESS CENTRE, Jalan Bazar U8/101, Bukit Jelutong, 40150 Shah Alam, Selangor

Restoran Aroma Hijrah Shah Alam
Sumber: Facebook Restoran Aroma Hijrah

Restoran yang terletak di TTDI Jaya ini menyediakan menu makanan Arab sesuai untuk juadah seisi keluarga. Menurut pandangan pengunjung, citarasa di sini sangat enak dan sesuai dengan tekak rakyat Malaysia. Antara makanan yang patut dicuba tentunya lamb kebab dan ada disediakan juga ruangan solat.

Alamat: 14, Jalan Opera H U2/H, Taman TTDI Jaya, 40150 Shah Alam, Selangor

AlRawsha Restaurant Shah Alam

Restoran ibarat istana di zaman silam menyediakan juadah yang tak kurang hebatnya. Dengan ruang yang luas ditambah pula dengan keselesaan yang ada, kami yakin anda sekeluarga patut datang mencuba hidangan di Al-Rawsha.

Alamat: 22, Jalan Kristal K7/K, Seksyen 7, 40000 Shah Alam

Restoran Saba’ Cyberjaya
Sumber: Facebook Saba Restaurant Cyberjaya

Salah satu restoran yang lama bertapak di Malaysia. Sentiasa penuh dengan pengunjung yang ingin merasai makanan makanan Arab asli. Usah khuatir dengan kawasan parkir kerana ada tapak parking berbayar di sekitar restoran tersebut.

Alamat: 4800-0-2 GROUND FLOOR, BLOCK A1, Jln Perdana, CBD Perdana, 63000 Cyberjaya, Selangor

Restoran Balqis Putrajaya

Restoran ni terletak dalam Shaftsbury Putrajaya. Suasana dalam boleh dikategorikan sebagai fine dining dengan susun atur yang selesa. Tempat duduk luar pun ada. Sesuai untuk makan dimakan secara kumpulan besar. Sekiranya anda mahu mencuba hidangan timur tengah yang premium, ini adalah tempatnya.

Alamat: Lot G-08, Shaftsbury Avenue, Precinct 1, 62000 Putrajaya

Warung Hanna Cyberjaya

Shawarma terbaik yang pernah saya makan di Cyberjaya! Dagingnya sangat lembut dan berjus, ditambah dengan keju yang serasi dengan sos mayo bawang putih terbaik.

Caj tambahan RM2 untuk sos tu memang berbaloi. Bahagian yang banyak dan berbaloi dengan harga untuk hidangan yang sedap. Saya hanya datang ke sini untuk shawarma ni, sangat disyorkan

Alamat: G16 Paragon @ Pangaea, Persiaran Bestari, 63000 Cyberjaya, Selangor

Hadramawt Al-Arabi Putrajaya

Saya ambil shawarma ayam untuk dibawa pulang. Cashier Arab dan pembuat shawarma sangat baik dan sopan. Paling penting, tiada sos cili dalam shawarma ni sebab kalau ada sos cili tu memang bukan shawarma asli. Ini mesti satu-satunya shawarma asli Arab di Putrajaya. Alhamdulillah dan terima kasih!

Alamat: 47, Jln Diplomatik, Presint 15, 62050 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

Mr Kabab Biryani Putrajaya

Sejujurnya, tempat ni tak pernah mengecewakan. Hampir semua yang ada dalam menu memang sedap.

Alamat: 44, Jalan Diplomatik 3/1, Presint 15, 62050 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

Restaurant Shawarma Mansour Cyberjaya

Shawarma ini memang terkenal di Cyberjaya. Restoran Arab yang kecil tapi patut cuba shawarma Arab mereka. Sangat aromatik dan sedap. Mereka juga ada nasi mandy ayam dan lain-lain. Harga juga berpatutan berbanding shawarma yang popular di Lembah Klang.

Alamat: No.2, Jln Teknokrat 6, Cyber 5, 63000 Cyberjaya

Jadi jika anda semua penggemar shawarma kebab, semua lokasi ini patut dimasukkan dalam hunting list. Nikmati kebab secara santai bersama keluarga tentunya masa paling berharga dalam hidup.