Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai satu produk tudung bertemakan Jalur Gemilang yang dijual di rangkaian pasar raya Mydin.

Apa yang menarik perhatian ramai bukanlah reka bentuknya semata-mata, tetapi satu kesilapan teknikal yang agak sensitif. Reka bentuk bintang pada tudung tersebut didakwa tidak mempunyai 14 bucu seperti mana bendera kebanggaan kita.

Perkara ini pantas mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya berasa ralat memandangkan ia melibatkan identiti dan lambang rasmi negara.

Teguran Dari Pengguna Media Sosial

Kecoh Isu Bintang Tak Cukup Bucu, Mydin Tampil Mohon Maaf Dan Hentikan Jualan Tudung
Sumber Gambar: Threads

Isu ini mula menjadi bualan hangat selepas seorang pengguna di aplikasi Threads berkongsi beberapa keping gambar tudung berkenaan.

Melalui hantaran tersebut, pengguna itu meluahkan rasa kesal dan mempersoalkan bagaimana produk sedemikian boleh melepasi proses semakan sebelum dijual kepada umum.

“Ini bukan sekadar silap rekaan. Bila Jalur Gemilang terbalik, satu negara marah. Tapi produk yang dijual secara terbuka pula guna bintang yang tak cukup 14 bucu?” luah pengguna tersebut dengan nada kecewa.

Dia turut mempersoalkan ketelitian pihak pengeluar dan menambah, “Kalau rekaan guna AI sekalipun, mana proses semakan teliti sebelum pengeluaran secara besar-besaran? Ini lambang negara. Mydin kena ambil tanggungjawab, beri penjelasan dan tarik balik produk yang terlibat.”

Mydin Tampil Mohon Maaf Dan Henti Jualan

Menyedari sensitiviti isu ini dan teguran wajar daripada orang ramai, pihak pengurusan Mydin tidak mendiamkan diri. Mereka pantas mengambil langkah proaktif dengan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka untuk menjernihkan keadaan.

“Pihak kami mengambil serius perkara ini dan telah mengarahkan semua cawangan untuk menghentikan jualan produk berkenaan serta-merta. Semakan mendapati isu tersebut melibatkan kesilapan cetakan oleh pihak pembekal,” jelas wakil Mydin melalui satu kenyataan.

Mereka juga memberi jaminan penuh bahawa tindakan sewajarnya sedang diambil bagi memastikan kesilapan rupa bentuk bendera ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.

“Kami memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku dan sangat menghargai maklum balas pihak tuan,” tambah mereka lagi.

Walaupun ia berpunca daripada kesilapan cetakan pembekal, insiden ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia sangat menyayangi dan memandang tinggi identiti negara.

Tindakan pantas dan profesional Mydin yang sudi mendengar keluhan pelanggan serta segera menarik balik jualan tudung berkenaan wajar dipuji. Ia satu langkah penyelesaian yang baik dan semoga menjadi pengajaran buat semua pengeluar agar lebih peka selepas ini.

Sumber