Senator, Dr. RA Lingeshwaran, telah mencadangkan agar doktor yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada cukai kenderaan sebagai insentif one-off bagi menggalakkan mereka bekerja di negeri-negeri berkenaan, sekali gus membantu menangani masalah kekurangan tenaga kerja yang meruncing di sana.
Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga harus mempertimbangkan pemberian elaun perkhidmatan khas kepada doktor yang ditempatkan di sana, sebagai tambahan kepada elaun sedia ada dalam skim gaji mereka, petik Free Malaysia Today.
Baca Juga:
- ‘Terlepas Pandang’ – Alasan Ahli Perniagaan Wanita Tak ‘Renew’ Cukai Jalan Bentley 8 Tahun

- ‘Kad Pokémon Bernilai Lebih RM1,000 Dikenakan Cukai’ – Ketua Pengarah Kastam

- Pandu Ford Mustang Sewa Tamat Cukai Jalan, Wanita Singapura Ditahan

Beliau berkata jumlah doktor yang menolak penempatan ke Sabah dan Sarawak adalah membimbangkan, dengan ramai yang memilih untuk berhenti daripada perkhidmatan awam sekiranya permohonan mereka untuk kekal di Semenanjung Malaysia ditolak.
“Perkara ini amat ketara bagi doktor pakar, yang mengakibatkan pesakit terpaksa menunggu sehingga enam bulan untuk janji temu mereka.
“Saya juga mencadangkan agar kerajaan negeri memperuntukkan dana bagi menyediakan insentif kewangan tambahan untuk menarik minat doktor berkhidmat di sana,” katanya di Dewan Negara semalam.
Tambah beliau, insentif sedemikian adalah perlu kerana skim gaji tertakluk kepada peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan tidak boleh dilaraskan secara berasingan.
“Oleh itu, kerajaan negeri dan persekutuan mesti menjalinkan kerjasama strategik bagi memastikan semua rakyat Malaysia mendapat akses saksama kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti, tanpa mengira status atau lokasi geografi,” tambahnya lagi.