Selepas lebih lapan tahun beroperasi, kedai barangan fesyen ‘Steal Plug’ kini terpaksa menoktahkan perjalanan mereka.
Penutupan operasi perniagaan ini berpunca daripada satu insiden kehilangan inventori yang amat besar sehingga syarikat tersebut menanggung kerugian yang tidak mampu ditampung lagi.
Menurut hantaran Instagram pemilik perniagaan, insiden malang ini berlaku ketika syarikat tersebut sedang dalam proses pemindahan gudang dan pejabat ke Bukit Indah.
Pemilik Steal Plug terpaksa bergegas pulang ke Malaysia sewaktu sedang bercuti di Thailand apabila menerima laporan daripada pekerjanya bahawa sebuah lori yang memuatkan stok perniagaan telah lesap.
Individu (seorang warga emas) yang diupah untuk urusan pemindahan tersebut — yang juga pernah berurusan dengan syarikat itu sebelum ini — telah ‘ghaib’ bersama-sama barang muatan. Dia juga gagal dihubungi sehingga ke hari ini.
Siasatan awal mendapati bahawa pemandu lori yang bertugas pada hari tersebut juga menjadi mangsa penipuan apabila gajinya turut tidak dibayar oleh majikannya.
Anggaran Kehilangan Bernilai Hampir RM1 Juta
Kehilangan ini sangat besar dengan nilai stok yang lesap dianggarkan mencecah RM800,000 hingga lebih RM900,000.
Lebih memburukkan keadaan, barangan tersebut merupakan stok konsainan dan bekalan yang masih belum dibayar sepenuhnya kepada pihak pembekal.
Pemilik Steal Plug telah merayu kepada orang ramai yang mempunyai rakaman dashcam di sekitar laluan ke Bukit Indah untuk tampil membantu menjejaki lori tersebut, dan turut menegaskan bahawa beliau tidak mahu memanjangkan isu ini asalkan barangan tersebut dipulangkan.
Terpaksa Tutup Perniagaan
Menyedari hakikat bahawa operasi perniagaan tidak lagi dapat diteruskan akibat hutang yang terlalu besar, ‘Steal Plug’ mengambil keputusan untuk mencairkan sisa-sisa barangan perniagaan mereka.
Sebagai langkah memikul tanggungjawab melunaskan hutang kepada pembekal dan rakan konsainan, Steal Plug mengadakan jualan penghabisan stok (Clearance Sale) besar-besaran bermula 11 Mei hingga 14 Mei.
Jualan ini merupakan usaha terakhir bagi mendapatkan kembali sekurang-kurangnya 50% hingga 60% modal untuk menampung kerugian yang dialami.
Sementara baki kerugian akan ditanggung sendiri oleh pemilik.
Dalam ‘jualan terakhir’ ini, produk-produk termasuklah kasut dan pakaian dilepaskan di bawah harga kos dengan potongan harga mencecah 60%.
Sebagai contoh, sepasang kasut yang asalnya berharga RM1,000 kini dijual pada harga sekitar RM300 hingga RM400 sahaja.
Pemilik Steal Plug merayu kepada para pelanggan dan masyarakat untuk memberikan sokongan terhadap jualan ini buat kali terakhir, di samping memohon ruang dan sedikit masa daripada pihak pembekal agar kesemua hutang dapat diselesaikan secara berperingkat.