Bunkitsu merupakan kedai buku yang sangat berbeza daripada kedai buku yang pernah ada. Sekiranya anda ke kedai buku Bunkitsu yang terletak di Tokyo ini, anda akan dikelirukan dengan konsep dan seni binanya yang kelihatan seperti galeri seni dengan rekaan pintu kacanya yang elegan, pintu masuk yang luas, buku-buku yang dipamerkan di atas meja seperti pameran dan maklumat keterangan yang ada pada dinding.
Kedai buku Bunkitsu ini telah dibuka pada Disember 2018 yang lalu dan ianya sangat luar biasa kerana para pelanggan yang mengunjungi kedai tersebut boleh melayari majalah tahun 90-an atau lebih dari itu secara percuma, akan tetapi mereka perlu membayar ¥1,500 (RM55) untuk membaca 30,000 atau lebih tajuk buku yang ada di tingkat dua kedai tersebut.
Menariknya lagi, kedai buku ini juga terdapat kafe di kawasan bacaan tingkat atas yang menyediakan minuman teh atau kopi percuma serta sajian makanan tengah hari untuk pelanggan. Kafe ini juga sangat sesuai buat pelanggan yang mengidamkan suasana santai untuk menghabiskan waktu membaca mereka di kedai buku tersebut.
Bunkitsu adalah tempat yang sesuai untuk pencinta tegar buku dan pada masa yang sama, ia adalah tempat dimana orang ramai dapat menemui buku tidak pernah dibaca mereka sebelum ini. Sekiranya anda mempunyai perancangan untuk bercuti ke Tokyo, jangan lepaskan peluang anda untuk mengunjungi kedai buku ini dan lihat sendiri konsep binaannya yang sangat menarik.