Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggempur Jalan Alor, Bukit Bintang dalam satu Operasi Gelap Gempur Khas semalam (25 Jun).
Operasi ini bertujuan bagi memastikan semua premis makanan mematuhi syarat pelesenan, menjaga keselamatan makanan, serta mengekalkan tahap kebersihan yang ditetapkan, petik hantaran Facebook DBKL.
Dalam operasi berskala besar tersebut, sebanyak 45 buah premis makanan telah diperiksa.
Hasilnya, pihak berkuasa telah mengeluarkan 74 notis dan kompaun atas pelbagai kesalahan undang-undang, termasuk:
– Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016
– Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan Wilayah Persekutuan 1979
– Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974
– Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian WPKL 2016
– Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024
Antara Kesalahan Utama Dikesan Di Kedai Makan Jalan Alor:
Isu Kebersihan Kronik: Premis kotor serta kehadiran lipas dan tikus di kawasan dapur.
Perangkap Minyak: Gagal memasang atau menyelenggara sistem perangkap minyak dengan baik.
Pengendalian Makanan: Cara penyimpanan bahan mentah tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Suntikan & Kursus: Pekerja dikesan tiada suntikan tifoid dan belum menghadiri kursus pengendalian makanan.
Pelanggaran Lain: Ingkar syarat lesen serta kesalahan berkaitan larangan merokok.
Ekoran kegagalan menjaga kebersihan yang kritikal, enam (6) buah premis makanan di Jalan Alor itu telah diarah tutup serta-merta di bawah Undang-Undang Kecil 28(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016.
Komitmen Berterusan DBKL
DBKL menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan seperti ini akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa.
Langkah drastik ini penting bagi memastikan pengusaha premis makanan di ibu kota sentiasa patuh kepada undang-undang, sekali gus menjamin keselamatan makanan dan kesejahteraan seluruh warga kota serta pelancong.