Susulan tular video satu kedai manisan arab popular di Bukit Bintang disita, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan telah mengeluarkan kompaun dan menutup premis menjual khunafa dan manisan arab tersebut selepas beroperasi tanpa lesen sah semalam.

Menerusi laporan Harian Metro, DBKL dalam kenyataan berkata, Jabatan Penguatkuasaan DBKL sebelum ini sudah menjalankan pemantauan di premis terbabit.

Baca Juga:

Menurutnya, hasil daripada pemantauan yang dijalankan mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen yang sah daripada DBKL untuk sebarang aktiviti menjaja.

“Premis itu hanya mempunyai lesen hiburan semasa (promosi luar bangunan). Selain itu, aktiviti perniagaan terbabit turut dikendalikan oleh warga asing tanpa permit yang sah.

“Susulan daripada hasil pemantauan itu, satu operasi penguatkuasaan dijalankan di premis terbabit semalam,” katanya. Premis itu turut diambil tindakan tutup serta merta (SEALED) mengikut Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Satu kompaun serta sitaan terhadap kerusi meja mengikut Seksyen 46 (1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 turut dikeluarkan selepas mendapati premis itu meletakkan dua meja kayu bulat dan empat kerusi di atas siar kaki di tempat awam tanpa kebenaran DBKL.

Sumber