Selalunya kita hanya melihat waktu beroperasi kedai pokok hiasan atau nurseri hanya dari pagi sampai ke petang sahaja.
Bagaimanapun, seorang wanita telah berkongsi keterujaan berkenaan sebuah kedai pokok hiasan yang beroperasi sehingga ke malam hari.
Difahamkan kedai pokok bernama Hann Nursery itu terletak di Taman Megah Ria, Johor Bahru. Malah, dia merasakan ini pertama kali dalam hidupnya melihat kedai bunga beroperasi lebih 8 jam demi melayan pelanggan yang mungkin baru balik dari kerja.
“First time nampak orang buka kedia bunga sampai malam,” tulisnya di grup FB Komuniti Masai.
Tambahnya, pemilik kedai berkata dia berbuat sedemikian kerana tidak tahu erti penat sekaligus sedia beroperasi selama itu.

Di dalam gambar yang dikongsikan, terpampang bunting yang memperlihatkan waktu pengoperasian bermula pada pukul 9 pagi sehingga 12 lewat malam dan buka pada setiap hari kecuali pemiliknya kepenatan.
Kelihatan pelbagai jenis pokok yang di samping ada baja yang boleh didapatkan oleh para pelanggan.
Hantaran wanita tersebut langsung mencuri perhatian netizen dan rata-ratanya turut teruja kerana inilah pertama kali melihat kedai bunga yang beroperasi dari matahari terbit sehinggalah bulan purnama menjelma.


Dalam pada itu, sebahagian netizen merasakan ada logiknya juga tempoh pengoperasian kedai itu lebih lama kerana boleh melayan pelanggan yang baru pulang dari kerja sekaligus memberi kelainan berbanding kedai nurseri di luar sana.
Ramai turut berseloroh agar hantaran tidak diketahui oleh ahli keluarga yang meminati pokok kerana sudah pasti akan mengunjunginya walaupun sudah lewat malam kelak.