Kejayaan manis dilakarkan pada tahun 2025 terutamanya dalam Sukan SEA di Bangkok merupakan detik indah buat skuad sepak takraw Malaysia.

Pingat emas acara berpasukan yang diraih dengan menewaskan musuh tradisi Thailand bukan sekadar kemenangan di atas kertas, tetapi penamat kepada kemarau panjang yang sekian lama menghantui skuad sepak takraw negara.

Baca Juga:

Tidak lama kemudian, kejayaan itu disusuli pula dengan emas acara regu apabila Malaysia menundukkan Vietnam di pentas final.

Ia satu lagi bukti bahawa kebangkitan ini bukanlah kebetulan.

Dua emas itu mengubah naratif. Ia mengembalikan keyakinan, menaikkan semula status Malaysia sebagai kuasa yang perlu dihormati.

Dalam masa sama meletakkan jangkaan lebih besar ke atas bahu pemain. Namun kejayaan manis di Sukan SEA itu hanyalah permulaan.

Memasuki 2026, skuad sepak takraw Malaysia berdepan rangkaian kejohanan yang bakal menguji sama ada kejayaan di Bangkok itu mampu dikekalkan atau sekadar menjadi kenangan manis tanpa kesinambungan.

Berikut adalah kejohanan-kejohanan yang bakal dihadapi skuad sepak takraw Malaysia sepanjang 2026:

Aksi Sepak Takraw Malaysia Pada 2026

1) Kejohanan Sepak Takraw Asia (Aksi Pra Sukan Asia)
Tarikh: 30 Januari hingga 2 Februari
Tempat: Gimnasium Taman Mizuho, Nagoya, Jepun
Acara Terlibat: Kuadran lelaki

2) Piala Dunia Istaf Keenam
Tarikh: 15 hingga 24 Mei
Tempat: Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, Malaysia
Acara Terlibat: Berpasukan, regu, kuadran lelaki (Perdana)
Regu, kuadran lelaki (Divisyen 1)

3) Kejohanan Piala Raja Thailand Ke-39
Tarikh: 19 hingga 28 Jun
Tempat: Central Hatyai, Songkhla, Thailand
Acara Terlibat: Berpasukan, regu, beregu, kuadran, gelung (lelaki & wanita), kuadran campuran

4) Sukan Asia Ke-20
Tarikh: 19 September hingga 4 Oktober
Tempat: Gimnasium Taman Mizuho, Nagoya, Jepun
Acara Terlibat: Berpasukan, regu, beregu, kuadran (lelaki & wanita)

5) Kejohanan Sepak Takraw Bawah 19 Tahun Asia Astaf
Tarikh: 18 hingga 24 November
Tempat: Coliseum Peringatan Rizal, Manila, Filipina
Acara Terlibat: Regu, kuadran (lelaki & perempuan), kuadran campuran

6) Sukan Dewan dan Seni Tempur Asia Keenam
Tarikh: 28 November hingga 7 Disember
Tempat: Riyadh, Arab Saudi

*Tertakluk kepada pindaan dan perubahan