Menteri Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memberitahu terdapat 25 daripada lebih 800 projek infrastruktur di Semenanjung Malaysia diklasifikasikan sebagai ‘projek sakit’ kerana lewat dan gagal disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Memetik laporan Astro Awani, antara ‘projek sakit’ berkenaan termasuk melibatkan pembinaan jalan raya dan pembangunan infrastruktur asas.

Baca Juga:

Alexander berkongsi insight tersebut kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Town Hall Menteri Kerja Raya Bersama Kontraktor G1-G3 di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.

Sumber Gambar: Twitter @AlexNantaLinggi

“Ada pelbagai sebab projek itu sakit. Ia termasuk pihak kontraktor agak lemah dalam sumber kewangan menyebabkan mereka tidak dapat menampung beban kenaikan harga bahan-bahan binaan serta kos operasi lain.

“Selain itu, ada juga projek sakit disebabkan masalah kekurangan pekerja asing,” terang Alexander.

Beliau menyatakan KKR akan sentiasa berusaha mencari jalan untuk memastikan projek yang sedang dilaksana dapat disiapkan tanpa terlalu bergantung kepada suntikan kewangan baharu daripada kerajaan.

“Jika boleh kita tidak mahu menyuntik kewangan yang berlebihan kerana ia akan menjejaskan kewangan kita (KKR) untuk projek-projek baharu.

“Jadi kita akan cuba mencari jalan lain untuk menyiapkan projek walaupun kerajaan sudah mengadakan pelbagai cara untuk membantu kontraktor termasuk memberi lanjutan masa untuk projek disiapkan,” katanya.

Memetik laporan lagi, industri pembinaan negara pada keseluruhannya memerlukan kira-kira 400,000 pekerja asing namun kini, masih kekurangan 120,000 orang.

Bagaimanapun, katanya baru-baru ini berlaku perubahan dan penambahbaikan dalam sistem yang membolehkan pengambilan pekerja asing menjadi lebih mudah dan terurus.

Mengulas rungutan kontraktor berhubung banyak projek pengubahsuaian kini diberikan kepada pihak (kontraktor) asing, Alexander berkata KKR akan memantau perkara tersebut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat aduan.

Sumber