Kelantan semakin menghampiri kejuaraan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 2 2024 apabila mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan selepas mengharungi lapan perlawanan liga.
Dengan kempen liga hanya berbaki tiga perlawanan sahaja lagi untuk ditamatkan, Kelantan yang dibimbing bekas pemain futsal kebangsaan, Muhamad Fadhil Yusoff memiliki kelebihan sembilan mata berbanding pencabar terdekat, Kedah.
Baca Juga:
- MPFL Divisyen 2 2024: Kedah, Kelantan & Malaysian University Bermula Garang
- Futsal SUKMA 2024: Selangor, Johor & Sarawak Diundi Satu Kumpulan
- SUKMA 2024: Skuad Futsal Selangor Sasar Raih Pingat Emas
Situasi yang menyaksikan Kelantan hanya memerlukan satu kemenangan sahaja lagi untuk mengecapi nikmat selaku juara sulung bagi Divisyen 2.
Bagi kem Kelantan, kelibat dua pemain iaitu Ahmad Aqil Khalis Adli Khairuz dan Mohd Firdaus Amzar Ismail jelas mencuri tumpuan dengan kedua-duanya meledakkan lapan jaringan.
Setelah mengharungi lapan perlawanan, Kelantan jelas berada di kelas tersendiri dengan kemenangan bersih dimana mereka menundukkan ATM 4-1 pada aksi sulung dan kemudiannya menang 6-2 ke atas Pulau Pinang, Negeri Sembilan United (6-5), Melaka (3-2), PJ Champz (4-2) dan mengecewakan Kedah 5-4.
Minggu lalu, giliran Kuala Lumpur (6-1) dan PFA Odin Sarawak (4-2) pula menjadi mangsa kepada kehebatan ditampilkan barisan pemain Kelantan.
Sementara itu, malang terus menimpa Kedah dimana selepas tunduk kepada Kelantan pada dua minggu lalu, anak-anak buah Muhammad Aidiel Boon Abdullah terus menerima nasib sama dengan dua lagi kekalahan iaitu ketika bertemu Pulau Pinang (4-8) dan Malaysian University FT (1-5).
Satu keadaan yang membuatkan impian Kedah untuk memburu kejuaraan tampak semakin sukar untuk direalisasikan.
Tempat ketiga pada ketika ini diisi oleh Nilai City SC yang mengumpul 14 mata, berkelebihan satu mata dihadapan Malaysian University.
Malaysian University bagaimanapun masih kekurangan satu perlawanan dan akan melonjakkan kedudukan sekiranya meraih kemenangan.