Dakwaan bahawa industri kelapa sawit menjadi punca utama kebakaran hutan dan tanah di Indonesia dipersoalkan berdasarkan analisis data geospatial sepanjang September 2026.

Pakar Perhutanan, Dr. Petrus Gunarso, berkata 84 peratus daripada titik panas yang dikesan berada di luar kawasan ladang sawit yang diuruskan, manakala hanya 16 peratus berada dalam kawasan konsesi yang mempunyai pengurusan rasmi, petik Sawit Indonesia.

“Ini bermakna kawasan tanah yang secara rasmi diuruskan oleh syarikat sebenarnya jauh lebih selamat daripada ancaman kebakaran berbanding kawasan yang tidak diurus atau terbuka,” katanya dalam perbincangan Forum Wartawan Pertanian (Forwatan).

Pengarah Eksekutif GAPKI, Mukti Sardjono, pula berkata tiada laporan kebakaran yang memasuki atau membakar kawasan konsesi milik anggota persatuan itu setakat ini.

“Sehingga kini, tiada laporan mengenai titik kebakaran yang memasuki atau membakar kawasan konsesi milik anggota GAPKI,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umum APHI, Soewarso, berkata kebakaran hutan lebih berkait dengan faktor sosioekonomi, termasuk amalan menggunakan api untuk membuka tanah kerana dianggap murah dan pantas.

Kementerian Pertanian Indonesia merekodkan 28,692 titik panas sepanjang September, dengan jumlah tertinggi di Kalimantan Tengah, Kalimantan Barat dan Sumatera Selatan. Bagaimanapun, pihak kementerian menegaskan bahawa titik panas tidak semestinya menunjukkan kejadian kebakaran sebenar.

“Titik panas ialah petunjuk suhu permukaan yang tinggi dan memerlukan pengesahan di lapangan,” kata Pengarah Perlindungan Perladangan, Hendratmojo Bagus Hudoro.

Kerajaan Indonesia turut memperketat penguatkuasaan terhadap pembakaran tanah secara haram serta membangunkan 251 hektar kawasan demonstrasi Pembukaan Lahan Tanpa Bakar (PLTB) sebagai alternatif penyediaan tanah yang lebih mesra alam.