Kementerian Kewangan pada 21 Mac lalu telah mengumumkan sebuah inisiatif dalam membantu individu membuat pinjaman peribadi daripada institusi perbankan di mana Akaun 2 KWSP dijadikan sebagai cagaran.

Sebanyak dua fasa diperkenalkan di mana Fasa 1 Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) ini dikhususkan buat individu yang berumur 40 tahun sehingga 55 tahun. Fasa 2 FSA2 dijangka bakal dibuka kelak dengan mensasarkan kepada individu yang berumur 40 tahun dan ke bawah.

Baca Juga:

Selain itu, dua pilihan pinjaman ditawarkan kepada para peminjam iaitu pinjaman konvensional dan juga pinjaman Islamik di mana pinjaman Islamik dinamakan sebagai Ihsan-i. Berikut dikongsikan ilustrasi kelayakan pinjaman melibatkan tiga individu dengan situasi yang berbeza.

Kelayakan Fasiliti Sokongan Akaun 2
sumber: KWSP
Syarat-syarat kelayakan memohon Fasiliti Sokongan Akaun 2

1. Berumur 40 tahun sehingga 55 tahun sahaja (Untuk Fasa 1).

2. Permohonan hanya boleh dibuat sebanyak sekali sahaja.

3. Mempunyai simpanan minimum akaun 2 KWSP sebanyak RM3,000.

4. Pengeluaran bersyarat dengan jumlah maksimum sebanyak RM50,000.

5. Memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan oleh bank.

Cara-cara untuk memohon Fasiliti Sokongan Akaun 2

1. Membuat semakan awal kelayakan dalam Akaun 2 KWSP melalui portal KWSP atau portal institusi perbankan yang mengambil bahagian.

2. Membuat permohonan pembiayaan peribadi melalui portal institusi perbankan mengikut syarat dan terma yang dipersetujui dengan institusi perbankan.

3. Membuat permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP melalui portal institusi perbankan, berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang telah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan.

Kelayakan Fasiliti Sokongan Akaun 2
Sumber: The malaysian reserve

Setakat artikel ditulis, terdapat dua bank yang mengambil bahagian iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan juga MBSB Bank. Pengumuman dan penawaran kadar faedah bakal ditentukan pihak bank khusus buat para peminjam.

Pengeluaran hanya akan dibuat kepada pihak institusi perbankan apabila ahli telah mencapai umur 50 tahun hingga 55 tahun, tertakluk kepada pilihan umur pengeluaran ahli. Sementara itu, pembiayaan masih lagi perlu dibuat setiap bulan mengikut jumlah pinjaman yang dibuat.

Ketahui lebih lanjut kelayakan fasiliti sokongan Akaun 2 ini dengan layari laman rasmi KWSP dengan klik di sini.