Malaysia menyajikan aksi cukup meyakinkan untuk membelasah Vietnam 4-0 pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Selain daripada tiga mata penuh yang dicipta, ia merupakan kemenangan pertama buat skuad negara dimana kali terakhir menewaskan Vietnam pada 11 Disember 2014.
Pengendali pasukan, Peter Cklamovski membariskan pemain warisan baharu iaitu Facundo Garces, Jon Irazabal, Joao Vitor Figueiredo dan Rodrigo Holgado di kesebelasan utamanya.
Kesebelasan utama π―π₯π²πΎ
ββββββ
Harimau Malayaβs first eleven β ready to roar! π―π₯π²πΎ#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/x1udGW0gz1
— Malaysia NT (@malaysia_nt) June 10, 2025
Kehadiran mereka jelas memperlihatkan impak positif terutamanya di jentera tengah dan pertahanan yang dilihat membuatkan corak permainan skuad negara lebih tersusun dan bertahan dengan baik.
Keadaan tersebut membuatkan jentera serangan Vietnam berada dalam kesukaran ekoran ketenangan ditampilkan barisan pertahanan negara.
Malaysia hampir dihadapan pada minit ke-36 apabila percubaan Dion Cools sudah menewaskan penjaga gol Vietnam, Filip Nguyen, namun rembatan jarak jauh itu sekadar singgah di palang gol.
Empat minit kemudian, tandukan padu Jon Irazabal setelah menerima umpanan cantik Hevel pula digagalkan Filip.
Arif Aiman Mohd Hanapi turut terlepas peluang terbaik pada masa kecederaan apabila larian derasnya berjaya melepasi kawalan pertahanan untuk situasi ‘satu lawan satu’ dengan Filip.
Namun, penjaga gol berusia 32 tahun itu lebih tenang untuk menafikan percubaan lambung cuba dilakukan Arif.
45 minit kedua sudah cukup untuk menceritakan malam gemilang buat skuad negara apabila empat jaringan penting itu terhasil.
Skuad Harimau tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pembukaan selepas tekanan diberikan Figueiredo membolehkan beliau mendapatkan penguasaan bola.
Beliau kemudiannya melakukan percubaan yang membias pertahanan lalu melambung masuk ke gawang Vietnam pada minit ke-49.
Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan barisan pemain negara yang kian bernafsu untuk menambah gol kedua.
Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-59 selepas lorongan baik Arif Aiman dari sebelah kiri pintu gol lawan disudahkan dengan tenang Holgado.
Stadium Nasional Bukit Jalil terus bergegak-gempita berselang lapan minit kemudian setelah Corbin-Ong pula meletakkan nama selaku penjaring selepas beliau menolak mudah hantaran lintang cantik daripada Arif Aiman.
Tidak cukup dengan tiga gol tersebut, Malaysia menambah jaringan keempat menerusi Dion Cools menerusi tandukan pada minit ke-88.
Keputusan 4-0 itu kekal hingga tamat permainan yang menyaksikan Malaysia pada ketika ini memimpin kumpulan F dengan enam mata, tiga mata meninggalkan Vietnam di tempat kedua.