Malaysia memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan kemenangan selepas menundukkan Nepal 2-0 pada aksi yang berlansung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Perlawanan ini juga menyaksikan pemain warisan terbaharu negara, Hector Alexander Hevel Serrano membuat penampilan sulung dengan aksi cukup meyakinkan.

Baca Juga:

Malah, lebih manis pemain berusia 28 tahun itu sudah mula membuka akaun jaringannya pada separuh masa pertama.

Malaysia mendapat peluang seawal minit kelapan untuk mendapatkan jaringan, namun tandukan Endrick dos Santos susulan hantaran tinggi Arif Aiman Mohd Hanapi melewati palang gol.

Arif kemudiannya memperoleh peluang dalam kawasan penalti tetapi percubaan kaki kiri sekadar singgah di luar jaring pintu gol.

Jaringan yang dinantikan buat kem negara akhirnya hadir pada minit ke-29 selepas percubaan Hevel dari luar kawasan penalti membias pertahanan lalu membocori gawang Nepal.

Memasuki separuh masa kedua, anak buah Peter Cklamovski memperbaiki aksi untuk lebih memberikan tekanan buat jentera pertahanan Nepal.

Sepakan percuma Dion Cools pada minit ke-57 begitu cantik menuju pintu gol lawan tetapi hanya sedikit melewati palang ketika penjaga gol, Kiran Chemjong sudah mati langkah.

Tiga minit kemudian tandukan Romel Morales dalam kawasan penalti pula sekadar singgah di palang gol selepas beliau menerima umpanan berkualiti daripada Arif Aiman.

Gol kedua negara hadir pada minit ke-70 susulan ‘setpiece’ menarik antara Arif Aiman dan Hevel yang kemudiannya disudahkan dengan mudah oleh La’vere Corbin-Ong.

Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan Malaysia di kedudukan kedua dalam kumpulan F.

Vietnam di tangga teratas juga dengan tiga mata namun juara ASEAN itu memiliki kelebihan jaringan hasil kemenangan 5-0 ke atas Laos.