Peguam yang mewakili Abang Bas secara probono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar memberikan amaran kepada sesiapa sahaja yang telah membuat hantaran yang menimbulkan syak wasangka dan kecaman ke atas anak guamannya agar sediakan duit

Ini kerana keluarga Abang Bas sudah sedia memgambil tindakan ke atas mana mana individu termasuk selebriti yang mengecam Abang Bas sepanjang dia ditahan polis untuk siasatan.

Peguam tersebut memberikan masa kepada mereka yang pernah mengecam atau menyebarkan syak wasangka kepada Abang Bas untuk membuat permohonan maaf kepada keluarganya.

Jika tidak mereka akan berdepan dengan tindakan perundangan daripada pihak keluarga Abang Bas, kata peguam itu – menurut laporan Berita Harian.

Zaharil menambah: “Sudah tentu kita sudah mengenal pasti mereka…ramai, keluarga mengarahkan mereka (warganet) disaman.

“Pecahlah mana-mana tabung yang ada, kira siap-siap jadi senang nak kira nanti. Selama ditahan, dia dikecam tanpa belas ihsan.”

Selain itu peguam tersebut turut mengesahkan bahawa mereka kini berusaha mendapatkan semua bas sekolah yang disita oleh pihak polis. Dan pihaknya masih berusaha untuk mengurangkan ikat jamin yang dikenakan ke atas Abang Bas.

Abang Bas mulai disiasat polis setelah konten ‘crush’ dengan kanak kanak bawah umur mendapat perhatian daripada ramai pihak termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Nancy kemudian mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai satu hantaran yang tular di media sosial. Dan polis segera bertindak menangkap Abang Bas.

Keluarga Abang Bas kemudian meminta bantuan daripada orang ramai untuk mengikat jamin dia keluar.