Sebuah keluarga di Rawang yang berjuang untuk menyelamatkan banglo berusia 106 tahun milik mereka berharap Mahkamah Rayuan dapat memberikan pembelaan, selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 18 Ogos sebagai tarikh roboh bagi rumah berkenaan.
Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menolak permohonan penangguhan perintah perobohan tersebut pada 11 Ogos, sekali gus mendorong keluarga itu membawa kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan, petik Free Malaysia Today.
Maljindar Singh Sidhu Brar, yang mesra disapa Jimmy, memberitahu bahawa beliau juga telah memfailkan sijil tindakan segera (certificate of urgency).
“Sebab utama saya bersungguh-sungguh mempertahankan rumah ini adalah kerana ia merupakan kediaman warisan keluarga kami. Kami telah menetap di sini sejak 65 tahun yang lalu,” katanya kepada FMT merujuk kepada rumah berarsitektur gabungan Cina, Melayu dan Palladian itu.
Menurut Jimmy, peguamnya memaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan telah menetapkan 18 Ogos untuk mendengar rayuan tersebut, iaitu pada tarikh yang sama perobohan rumah itu dijadualkan.
Rumah berkenaan kini didiami oleh Jimmy bersama ibunya, isteri, dan dua anak mereka. Jimmy, yang mengusahakan perniagaan pengangkutan, menyatakan bahawa keluarganya telah memohon sebanyak tujuh kali untuk memiliki dan memindah milik tanah berkenaan.
“Setiap kali memohon, pihak berkuasa memaklumkan bahawa kawasan tersebut telah terikat di bawah pajakan perlombongan dan meminta kami memohon semula setelah pajakan itu tamat,” katanya.
Dalam surat-menyurat terakhirnya dengan Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Jimmy dimaklumkan bahawa pajakan berkenaan sepatutnya tamat pada penghujung tahun 2025.
Walau bagaimanapun, pada awal tahun 2025, keluarganya mendapat tahu bahawa pajakan tersebut telah dilanjutkan selama 20 tahun lagi sehingga penghujung tahun 2045.
“Apabila kami bertanyakan nasib permohonan pemindahan milik tanah kami, pihak mereka berdiam diri. Bukan kami tidak menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan hak milik hartanah ini. Kami telah berusaha sejak tahun 1962 lagi,” katanya.
Banglo tersebut dibina pada tahun 1920 oleh Berjuntai Tin Dredging Bhd, yang memegang pajakan perlombongan bagi kawasan berkenaan pada ketika itu.
Pada tahun 1959, syarikat tersebut menjual hartanah berkenaan kepada pekerja mereka, Pologa Nathan, yang kemudiannya menjualnya kepada nenek Jimmy, Gurtha Kaur.
Berdasarkan laporan berita terdahulu, keluarga tersebut pertama kali memohon hak milik tanah di Pejabat Tanah Kuala Kubu Bharu (kini Pejabat Tanah Gombak) pada tahun 1967, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
Jimmy menambah bahawa Gurtha telah memindahkan hak kepentingan hartanah tersebut kepada keluarga pada tahun 1989 melalui surat ikatan penyerahan hak (deed of assignment).
Walau bagaimanapun, pajakan perlombongan bagi tanah berkenaan rupanya telah pun diberikan kepada dua syarikat pengeluar simen pada masa itu.
Difahamkan FMT telah menghubungi Pejabat Tanah dan Galian Selangor untuk mendapatkan ulasan lanjut.