Kakak kepada seorang murid yang mengalami patah tulang pinggul akibat terjatuh dek kerana kerusi dialihkan oleh rakan meluahkan rasa terkilan dengan sikap seorang guru yang tidak ambil kisah.
“Kami terkilan apabila seorang guru memperlekehkan nasib adik dengan menyatakan kejadian yang berlaku hingga mengakibatkan tulang pinggulnya patah sebagai takdir,” kata pekerja swasta, Shahirah Shah, 20.
Menurut Shahirah, kejadian berlaku pada 17 November lalu di sebuah sekolah di Batu Pahat apabila kerusi adik perempuannya dalam kelas dialihkan seorang pelajar hingga mengakibatkan mangsa terjatuh.
Selepas tamat waktu persekolahan, adiknya yang juga pelajar tingkatan satu mengadu sakit punggung kepada ibu ketika menaiki kereta dan menceritakan semula kejadian itu.
Katanya, pada hari sama, keluarga membawa adiknya ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat selepas mengadu kesakitannya semakin teruk.
“Apabila ibu membawanya ke hospital, doktor mencadangkannya untuk menjalani X-ray dan selepas mendapat keputusan, doktor memaklumkan kecederaan adik saya amat bahaya sehingga boleh menyebabkan lumpuh atau masalah kesihatan pada masa hadapan dan mengesahkan tulang pinggul patah.
“Pada 18 November lalu, kami sekeluarga ke sekolah bagi memaklumkan kecederaan dialami adik dan ketika itu seorang guru menyatakan kejadian berkenaan tidak disengajakan dan meminta kami menganggapnya sebagai takdir,” katanya.
Shahirah berkata, pihaknya difahamkan pengetua sekolah tidak dimaklumkan berkaitan kejadian itu dengan segera ia menggambarkan sikap acuh tidak acuh guru.
Berlaku konflik bukti apabila kenyataan seorang guru yang mendakwa menjadi saksi kejadian sebaliknya adiknya menyatakan guru berkenaan tidak berada dalam kelas ketika itu sekaligus membuatkan keluarga mangsa keliru.
Katanya, pihaknya juga tidak menerima maklum balas yang diharapkan daripada guru terbabit berkaitan rayuan keluarganya untuk memindahkan kelas adiknya di tingkat bawah mulai tahun depan atas faktor kesihatan.
“Guru berkenaan memperlekehkan laporan perubatan adik saya dengan menyatakan anaknya juga seorang doktor dan apa yang dialami adik adalah tidak serius.
“Tambahan pula kami keliru apabila adik saya seperti diboikot apabila tiba-tiba disingkir daripada kumpulan WhatsApp kelas.
“Adik saya jenis pelajar yang tidak bermasalah, sehingga kini dia juga tidak pernah menimbulkan masalah disiplin.
“Kejadian seumpama ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia boleh menimbulkan masalah lebih serius,” katanya kepada Harian Metro.
Perkembangan terkini status adiknya mengalami sukar bergerak tidak mampu tunduk dan duduk seperti biasa.
Ibu bapa mangsa juga membuat laporan di Balai Polis Batu Pahat pada 19 November lalu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin ketika dihubungi berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sedang menjalankan siasatan berkaitan kejadian berkenaan.
Kejadian murid patah pinggul seperti ini sudah sering terjadi di luar negara dan ada sampai terpaksa menggunakan kerusi seumur hidup selepas insiden gurauan tarik kerusi oleh rakan nakal.