Kemelut politik yang melanda negara telah memasuki episod baharu apabila Barisan Nasional (BN) dan PAS memutuskan untuk menarik balik akuan sumpah (SD) menyokong Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata kepada sidang media selepas pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara petang semalam. Pendirian ini terpaksa dibuat berikutan Dr Mahathir dilapor bercadang untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama parti DAP, lapor Berita Harian.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Tidak ubah seperti drama, kisah politik di Malaysia telah bertukar naratifnya dari semasa ke sama. Daripada cerita kerajaan pintu belakang bersambung kepada cerita Dr Mahathir bukan dalang disebalik kelam kabut situasi politik negara. Di episod seterusnya kita disuap pula cerita pengkhianatan si Kitol yang menghancurkan Kerajaan Pakatan Harapan – sembilan ahli parlimen PKR umum keluar parti, manakala dua lagi dipecat.

Rakyat terus meluahkan rasa gusar terhadap situasi negara yang hanya dipimpin oleh Tun Dr Mahathir selepas Yang di-Pertua Agong melantik beliau menjadi Perdana Menteri Interim sehingga sebuah kerajaan dibentuk.

Manakala di mata dunia, kita sedang menjadi perhatian.

Consumer News and Business Channel atau lebih dikenali sebagai CNBC melaporkan berita mengenai situasi politik di Malaysia. Sumber mereka, James Chin, seorang pakar politik Malaysia dari Universiti Tasmania ketika ditanya siapa yang akan kembali mengetuai Malaysia, beliau masih mengharapkan nama Mahathir yang bakal naik.

Manakala The Japan Times telah melaporkan bahawa Mahathir mempunyai kuasa yang lebih besar untuk menentukan siapa yang akan menyertai kerajaan pada peringkat seterusnya, kata Bridget Welsh, professor di John Cabot University di Itali – pakar politik Malaysia.

Beliau turut meramalkan bahawa akan ada pilihanraya umum jika situasi ini tidak diselesaikan dengan pantas.

Media dari Afrika Selatan, Business Day pula mengimbau kembali sejarah peristiwa 1998 membabitkan Anwar Ibrahim dan Mahathir dengan merujuk bahawa “perdana menteri jelas tidak suka musuh lama beliau.”

Pada tahun tersebut, Anwar dipenjarakan atas sabitan rasuah dan liwat, namun dinafikan oleh beliau sehingga sekarang. Anwar juga merujuk plot 1998 sebagai satu usaha untuk menjatuhkan kerjaya politik beliau.

Sebuah lagi media terkenal, CNN turut melaporkan situasi semasa dengan menyatakan bahawa punca kepada segala kekecohan ini adalah kerana Malaysia terkenal dengan permusuhan di antara parti/individu dan kejadian tikam belakang sering menjadi amalan di sini.

Bridget Welsh turut bercakap kepada CNN dengan menyatakan bahawa punca kepada kekecohan ini berlaku adalah kerana desakan dari pihak Anwar Ibrahim yang mahukan Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa sehingga tercetusnya permainan pintu belakang di antara beberapa ahli parlimen kerajaan dan ahli parlimen pembangkang.

Sejak semalam, YDPA telah mengarahkan 221 ahli Parlimen menghadap baginda untuk ditemu ramah seorang demi seorang. Tujuan temu ramah ini dilakukan adalah untuk mengenal pasti jumlah ahli parlimen yang memberi sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Bagi penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani melihat situasi yang dilakukan oleh YDPA ini adalah normal dan ia merupakan kali kedua pernah berlaku dalam era pentadbiran kerajaan Malaysia, katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Jemaah Pemangku Sultan Kedah mengambil pendekatan yang lebih kurang sama dengan pertimbangan YDPA semasa krisi Menteri Besar Kedah pada tahun 2015 yang menyaksikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ditukarkan kepada penggantinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Berikut adalah cerita lain mengenai konflik politik di Malaysia. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Sekadar ‘Makan Malam’, Tun Mahathir Buktikan Terima 131 Sokongan Ahli Parlimen

Tun Mahathir Dilaporkan Serah Surat Peletakan Jawatan Sebagai Perdana Menteri Kepada YDPA

Tiada PM Ke-8 Setakat Ini, Tun Mahathir Dilantik Perdana Menteri Interim