Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengesahkan akan menghantar surat bantahan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memprotes keputusan pengadil perlawanan selepas seri 2-2 menentang Bahrain pada aksi Kelayakan Piala Dunai 2026.

Perkembangan itu disahkan oleh Exco PSSI, Arya Sinulingga menurut laporan kompas.com.

Baca Juga:

“Ya kita kirim surat protes,” katanya.

Kemenangan Indonesia didakwa telah dirompak selepas pengadil dari Oman, Ahmed Al Kaf enggan meniup wisel penamat ketika perlawanan sudah berlangsung melebihi masa tambahan 6 minit yang diberikan.

Disebabkan itu, Bahrain berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 90+9 menerusi  Mohamed Marhoon sekaligus mencetus pergaduhan antara pemain, jurulatih dan pegawai perlawanan.

Malah, pengurus Indonesia, Sumardji turut dilayangkan kad merah oleh Ahmed Al Kaf kerana melakukan bantahan terhadap jaringan penyamaan Bahrain.

Kesal dengan keputusan pengadil tersebut, netizen Indonesia bertindak menyerang akaun instagram Ahmed Al Kaf namun ia tidak boleh diakses selepas beberapa minit dipercayai telah ‘direport’ oleh penyokong yang marah.

Pengendali Indonesia, Shin Tae Yong menyifatkan pengadil perlawanan kali ini cukup memalukan dan pihaknya akan membuat surat bantahan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Kedua-dua pasukan sudah melakukan yang terbaik sampai pengadil meniup wisel pada minit terakhir. Anda tahu beberapa hal yang memalukan.

“Jadi, kalau AFC mahu berkembang, mutu pengadilan juga harus diperbaiki. Jika ada yang baru sahaja menonton perlawanan ini, dan mungkin anda faham kenapa pemain kami marah.

“Waktu tambahan yang diberikan 6 minit, itu lebih dari 9 minit. Keputusan pengadil semua bias,” kata Shin Tae Yong dipetik dalam CNN Indonesia.