Bekas pemain Mobile Legend Bang-Bang (MLBB) terkemuka negara, Muhammad Faris Zakaria menyifatkan kemenangan Selangor Red Giants (SRG) di Mid Season Cup (MSC) baru-baru ini mengubah persepsi negatif orang ramai terhadap industri e-sukan di Malaysia.
Justeru, Muhammad Faris atau lebih dikenali sebagai Soloz berharap industri e-sukan di tanah air akan terus berkembang pesat sekali gus dapat diangkat sebagai salah satu sukan utama di negara ini.
Baca Juga:
- Selangor Red Giants Muncul Juara MSC Mobile Legends Bang Bang 2024 Di Riyadh, Arab Saudi
- ‘Industri E-Sukan Buka Peluang Kepada Rasuah’- Azam Baki
- Kategori E-Sukan Bakal Disingkir Sepenuhnya Pada Sukan Komanwel 2026
“Dulu kalau kita lihat senario e-sports di Malaysia, ramai ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka untuk terlibat. Tapi lepas orang ramai tengok e- sports boleh jana pendapatan, persepsi itu terus berubah.
“Sebab kita lihat jumlah hadiah sekarang pun sudah semakin naik dari zaman saya dulu dari RM50,000 hingga sekarang dah masuk angka berjuta. Perkembangan ini saya rasa akan bantu ekosistem (sukan) di Malaysia sebab ia melibatkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran minuman baru Kopi Saigon Dark System Series, di sini hari ini.
Terdahulu, SRG berjaya mengharumkan nama negara apabila menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai aksi antarabangsa e-sukan selepas menumbangkan wakil Filipina Falcons AP Bren Sport 4-3 di kejohanan MLBB 2024 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi pada Ahad lepas.
Dalam pada itu, Soloz ketika ditanya perkembangan dirinya yang terkini menyatakan beliau merancang menubuhkan pasukan MLBB bersama rakan kongsinya yang lain untuk bersaing dalam saingan Liga Profesional MLBB Malaysia (MPL MY) musim ke-14 yang akan membuka tirainya tidak lama lagi.
Beliau berkata pasukannya akan mengisi slot kosong yang dilepaskan King Empire Esport (KGE) apabila kelab tersebut mengesahkan tidak akan bertanding pada MPL MY musim ke-14.
“Untuk musim depan saya dan pemegang taruh yang lain dah beli slot KGE. Kita hanya beli slot sahaja, bukan ambil alih pasukan itu.
@remaja.my Bekas pemain Mobile Legend Bang Bang (MLBB) terkemuka, #Soloz turut menumpang bangga apabila Selangor Red Giants meraih juara dunia di Mid Season Cup MLBB yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, baru-baru ini. Kejayaan mereka tersebut sekali gus telah mengharumkan nama negara selain membawa pulang wang tunai berjumlah USD1,000,000 atau kira-kira RM4,669,303.78 berserta trofi. #remaja #majalahremaja #remajamalaysia
“Jadi nama apa [pasukan], atau senarai pemain akan diberitahu kemudian dan kita akan buat pengumuman dalam masa terdekat,” katanya.
BERNAMA