Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengumumkan pelantikan tiga daripada 12 syarikat yang memohon menjadi penyedia Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) baharu bagi fasa pertama, selain Puspakom.

Menteri pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat berkenaan ialah Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd, petik Sinar Harian.

Baca Juga:

“Wawasan Bintang bakal melaksanakan operasi di tiga lokasi iaitu Pelabuhan Klang, Selangor; Gua Musang, Kelantan dan Mersing Johor.

“Pakatan Petroleum pula beroperasi di Rawang, Selangor dan Termerloh, Pahang.

“Sementara Beriman Gold memberikan perkhidmatan di Kuching dan Serian, Sarawak,” umum Anthony.

Pelantikan itu dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama seperti mempunyai kedudukan kewangan kukuh dengan modal berbayar RM10 juta, berstatus sendirian berhad dan pemilikan tempatan.

“Hasil lawatan tapak mendapati lokasi yang dipilih adalah sesuai untuk operasi PPKM berdasarkan faktor keluasan, jarak dari kawasan perumahan, status pemilikan tanah, serta zon penggunaan tanah memenuhi perancangan oleh PLAN Malaysia,” kata beliau.

Syarikat yang menerima surat tawaran pelantikan PPKM diberikan tempoh 24 bulan untuk melengkapkan keperluan infrastruktur termasuk pembangunan premis, perolehan peralatan pemeriksaan serta mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Sepanjang tempoh pembangunan ini, MOT melalui JPJ akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan syarikat yang dilantik mematuhi semua syarat dan standard operasi PPKM yang telah ditetapkan.

“Lesen operasi hanya akan diberikan setelah syarikat berkenaan memenuhi sepenuhnya keperluan peraturan dan kelengkapan peralatan serta bersedia untuk memulakan operasi.

“Lesen pengoperasian adalah 10 tahun namun mereka perlu memperbaharui pada setiap tahun,” kata beliau.

Terdahulu, Puspakom Wangsa Maju akan menutup operasinya selewat-lewatnya pada bulan Jun tahun ini selepas mendapat arahan Kementerian Pengangkutan.

Penutupan itu adalah bagi memberi laluan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membina fasiliti baharu di tapak yang sama.

Sumber