Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan kementeriannya berkerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan terhadap Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Siasatan itu dibuat ke atas kakitangan syarikat tersebut yang didakwa terbabit dalam meluluskan kenderaan tidak selamat.

Baca Juga:

Memetik Berita Harian, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata suruhanjaya itu akan memulakan siasatan sebaik sahaja Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selesai menjalankan siasatan mereka.

Jelasnya lagi, hasil perbincangan pihaknya dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, siasatan JPJ terhadap isu PUSPAKOM itu dijangka selesai dalam tempoh dua minggu sebelum semua laporan teknikal berkaitan akan diserahkan kepada SPRM.

“Daripada laporan itu, kami akan meneliti dengan rapi. Mungkin ada sudut yang boleh ditangani mengikut Akta SPRM atau Kanun Keseksaan,” kata beliau.

Sementara itu, Anthony Loke berkata monopoli PUSPAKOM yang sudah berusia 30 tahun bakal berakhir selepas menerima lebih sepuluh syarikat telah memohon lesen pemeriksaan kenderaan.

Pengendali baharu itu dijangka boleh mula beroperasi menjelang akhir tahun ini.

Pada masa sama Menteri Pengangkutan menyatakan pihaknya sedar tentang isu tentang kartel dan runner di pasaran yang akan memastikan mereka yang tidak layak pun diberi kelulusan.

Setakat ini seramai tiga orang kakitangan PUSPAKOM telah dipanggil untuk dirakam keterangan dan tidak menolak berkemungkinan ada individu lain akan dipanggil sekiranya ada keperluan.

Sumber