Merantau ke negara orang demi mencari rezeki bukanlah satu perjalanan yang mudah.
Namun, bagi seorang pekerja asing dari Indonesia, polisi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk warga asing telah memberi satu sinar kelegaan yang amat bermakna buat dirinya.
Keringat di Rantau Terbayar, Masa Depan Lebih Terjamin
Menerusi satu perkongsian tular, seorang pengguna bernama lee_dy15 meluahkan rasa sangat dihargai semenjak Malaysia mewajibkan caruman KWSP untuk pekerja asing.
Dia berkongsi dengan penuh rasa syukur, menyatakan sejujurnya sebagai perantau, dia berasa masa depan dan hasil titik peluhnya di negara orang lebih aman serta mempunyai jaminan apabila pulang ke kampung halaman kelak.

Sambil berseloroh, dia turut mengakui sudah dua kali membuat pengeluaran dari Akaun 3 atau Akaun Fleksibel miliknya.

Perkara ini turut disokong oleh rakan senegara yang menyatakan bahawa sebelum wujudnya caruman ini, mereka sering tidak sedar ke mana wang gaji dibelanjakan, namun kini hasil simpanan tersebut sudah jelas kelihatan.
Sokongan Warga Tempatan dan Tips Menabung
Rata-rata rakyat Malaysia menyambut baik luahan tersebut. Ada yang mengucapkan tahniah kerana dia dikurniakan majikan yang jujur dan telus, memandangkan hal ini menunjukkan tahap integriti dan tanggungjawab syarikat yang tinggi.
Rakyat Malaysia juga mengalu-alukan kedatangan pekerja asing yang mahu mencari rezeki, asalkan wujud rasa hormat menghormati antara satu sama lain.
Perkongsian ini juga mencetuskan keinsafan. Seorang pengguna mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa bersyukur kerana dilahirkan di negara ini.
Lee turut bersetuju lalu membalas bahawa dia sering menasihati rakan-rakan warganegaranya yang suka mengeluh tentang kesusahan hidup agar lebih bersyukur kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, netizen tempatan tidak melepaskan peluang menitipkan pesanan kewangan buat pekerja tersebut. Mereka menasihatkannya agar menahan diri daripada mempunyai ‘tangan gatal’ yang kerap mengeluarkan baki wang dari Akaun 3. Tabung kecemasan harus sentiasa ada sebagai persediaan di waktu sukar.
KWSP Malaysia vs JHT Indonesia: Apa Bezanya?
Menjawab persoalan netizen sama ada Indonesia mempunyai sistem persaraan yang serupa, sistem perlindungan sosial di sana dikenali sebagai BPJS Ketenagakerjaan.
Antara komponen yang paling mirip dengan KWSP ialah Jaminan Hari Tua (JHT) iaitu tabungan wajib yang boleh dikeluarkan sekaligus apabila berhenti kerja atau mencecah umur 56 tahun, serta Jaminan Pensiun (JP) untuk duit pencen bulanan.
Walau bagaimanapun, perbezaan ketara terletak pada kadar carumannya. Jumlah caruman JHT dan JP di Indonesia adalah sekitar 8.7 peratus yang dikongsi antara pekerja dan majikan.
Angka ini lebih kecil jika dibandingkan dengan KWSP di Malaysia yang mencatatkan potongan sekitar 22 hingga 24 peratus secara keseluruhan.
Kisah ini bukan sahaja menonjolkan kebaikan sistem kewangan negara kita, malah menjadi teguran mesra buat rakyat tempatan.
Di sebalik keluh-kesah kehidupan harian, ada insan lain yang melihat Malaysia sebagai lubuk rezeki yang sangat dihargai dan disyukuri.