Rancangan kuiz permainan televisyen, Who Wants to Be A Millionaire (WWTBAM) versi Malaysia yang dihoskan oleh Dato’ Jalaluddin Hassan pernah menjadi fenomena di negara kita pada sekitar tahun 2000 sehinggalah ia ditamatkan pada tahun 2002.
Difahamkan, bukan sahaja Malaysia, bahkan format rancangan permainan jawab 15 soalan dan menang hadiah utama wang tunai berjumlah RM1 juta ini turut diadaptasikan untuk paparan saluran ITV di United Kingdom.
Sepanjang ia bersiaran di United Kingdom, episod yang menampilkan bekas Tentera Darat British, Charles Ingram (kini berusia 58 tahun) sebagai pemenang hadiah utama wang tunai £1,000,000 pounds sterling (~RM5.9 juta) pernah menjadi topik perbualan yang hangat dengan kontroversi. Mengapa kemenangan Charles Ingram jadi kontroversi dalam rancangan ini?
Selepas kegagalan isterinya, Diana Ingram serta adik iparnya, Adrian Pollock dalam rancangan ini di mana masing-masing hanya berjaya memenangi wang tunai bernilai £32,000 (~RM190,000), tiba pula giliran Charles Ingram sebagai peserta yang turut mencuba nasib untuk memenangi hadiah utama dalam rancangan ini.
Charles mula munculkan dirinya dalam episod WWTBAM United Kingdom yang dirakamkan pada 9 September 2001. Dalam rakaman episod ini Charles berjaya menjawab enam soalan dengan mudah sekaligus wang tunai £2,000 (~RM12,000) sudah berada digenggamannya.
Akan tetapi, Charles mula panik apabila dia ‘tersangkut’ pada soalan yang ketujuh. Walau bagaimanapun, dia bertuah kerana dua talian hayat yang digunakan telah membantunya mara ke peringkat seterusnya. Tempoh rakaman telah tamat menyebabkan perjalanan Charles dalam rancangan ini bersambung dalam episod seterusnya.
Susulan prestasi hambar Charles dalam episod sebelumnya dan kerana terlalu tamakkan hadiah utama dalam rancangan ini, Charles dilaporkan sanggup ‘main tipu’ di mana dalam episod seterusnya dia telah dibantu oleh isterinya Diana serta rakannya, Tecwen Whittock (pensyarah dan juga peserta rancangan ini) untuk menjawab kesemua soalan dengan betul.
‘Coughing Major’, merujuk kepada kaedah tipu helah yang digunakan mereka untuk bantu Charles mendapatkan jawapan yang tepat bagi setiap soalan dalam episod 10 September 2001 ini. Difahamkan, isteri dan rakannya akan mengeluarkan bunyi batuk sebagai bahasa isyarat untuk menandakan ia jawapan betul kepada Charles.
Suasana studio yang ‘bingit’ dengan bunyi batuk dari kerusi penonton (helah coughing major) telah berjaya membantu Charles menjawab semua 15 soalan dengan tepat sekaligus bergelar jutawan Who Wants to Be A Millionaire versi United Kingdom.
Malangnya, pihak produksi menyekat pembayaran £1 juta kepada Charles setelah penipuannya terkantoi. Mereka mula syak Charles menipu setelah didapati berlaku situasi aneh di mana isterinya atau rakannya akan batuk setiap kali Charles ingin menjawab soalan.
“Saya tidak pernah dengar nama Craig David jadi saya pilih jawapan C (A1). Eh, sekejap saya tukar semula jawapan D untuk Craig David,” antara dialog pelik Charles yang secara tiba-tiba menukar jawapan sebaik sahaja isterinya batuk menandakan penyanyi Craig David adalah jawapan tepat untuk soalan tersebut.
Pada awalnya pihak produksi tidak mengesyaki apa-apa. Namun ketika mengulang semula rakaman, apabila dikaji bunyi batuk yang konsisten setiap kali Charles ragu-ragu dalam menjawab soalan, mereka tahu ada sesuatu yang tidak kena.
Penipuan mereka ini telah disiasat oleh detektif dan pihak polis. Hasil siasatan mendapati Charles, Diana dan Tecwen bersalah dan didakwa di mahkamah atas pertuduhan kes penipuan dengan menggunakan taktik batuk.
Charles yang memiliki dua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan Pengurusan Korporat dipenjara 20 bulan manakala Diana dan Tecwen masing-masing dikenakan hukuman penjara 4 dan 5 bulan.
Begitulah kisah kehidupan Charles Ingram, jutawan Who Wants to Be a Millionaire yang kemenangannya ditarik balik kerana menipu. Namun ‘tuah’ daripada kejadian itu, Charles dan Diana turut diundang ke beberapa program siri realiti lain di Britain antaranya The Games, The Weakest Link dan Hell’s Kitchen.
P/S: Kisah Charles dan Diana Ingram diabadikan dalam drama bersiri bertajuk Quiz yang bersiaran di saluran ITV di UK. Tonton petikan babak dalam drama ini menerusi pautan ini.
Kenali John Carpenter, ejen dan pemenang pertama ‘Who Wants to Be A Millionaire’ menerusi klik pada pautan di bawah.
Kenali John Carpenter, Seorang Ejen Dan Pemenang Pertama ‘Who Wants to Be a Millionaire’
Kisah Ahmad Samerin, ‘Owner’ Kedai Basikal Yang Berjaya Memenangi RM1 Juta Pada Tahun 1991