Isnin lalu sempat saya ke Stadium Shah Alam untuk menonton perlawanan bola sepak antara pasukan Malaysia dan Myanmar. Sudah agak lama tidak ke stadium untuk menonton perlawanan bola sepak kerana faktor masa yang tidak mengizinkan. Tetapi untuk perlawanan ini, saya nekad untuk pergi juga menyaksikan Harimau Malaya beraksi.
Walaupun masih di peringkat kumpulan, tetapi sokongan yang diberikan rakyat Malaysia memang hebat! Hampir penuh stadium Shah Alam tempoh hari dan bilangan penyokong untuk pasukan Myanmar juga tidak kurang ramainya. Perlawanan tamat dengan Malaysia menang 3-1 ke atas Myanmar.
Tamatnya perlawanan, semua pulang dengan senyuman dan sorakan. Sambil saya dan rakan berjalan untuk ke luar stadium, terdengar paluan muzik bhangra yang rancak meraikan kemenangan pasukan Harimau Malaya. Saya tengok ramai juga yang ‘layan’ muzik bhangra ini yang biasanya dimainkan ketika majlis keraian atau perayaan masyarakat Punjabi.
Saya pulang dan di timeline Facebook saya rupanya sudah hangat bercerita dengan geng gendang ini. Video rakaman paluan gendang mereka di Stadium Shah Alam turut viral dengan perkongsian lebih 11 ribu kali! Selidik punya selidik, Dhol Riderz adalah nama kumpulan awesome ini.
Saya sempat bertanya Kiret, pengurus dan juga pemain drum untuk Dhol Riderz ini. Pada awalnya, mereka tidak menyangka pun aksi mereka di stadium Shah Alam tempoh hari menjadi viral. Mereka pada mulanya ke Stadium Shah Alam hanya untuk memberi sokongan untuk Harimau Malaya sambil menghiburkan penonton di sekeliling mereka.
Menurut Kiret, Dhol Riderz ditubuhkan pada 2013 tetapi ahli di dalam Dhol Riderz ada yang sudah mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang ini. Muzik yang dibawa kumpulan ini pun menggabungkan pelbagai elemen muzik; dari muzik klasikal India sehinggalah ke Western Africa percussion. Sebab itulah rancak lain macam apabila mereka mengetuk Dhol!
Dhol Riderz pernah menjuarai pertandingan paluan gendang Dhol peringkat kebangsaan pada tahun 2013 dan 2015 dan menurut Kiret, permintaan untuk muzik bhangra ini semakin meningkat saban tahun. Malah mereka juga pernah membuat persembahan di Royal Caribbean Cruise!
“Kami sangat berbesar hati kalau apa yang kami buat ini dihargai orang ramai,” kata Kiret. Memetik kata-kata salah seorang ahli Dhol Riderz, Gurmesh pada akhbar The Star, “Ianya sesuatu yang indah apabila dapat lihat penyokong dari pelbagai bangsa meraikan kejayaan bersama-sama. Muzik dan sukan memang dapat menyatukan kita semua.”
Mereka bukan hanya muncul untuk acara bola sepak, tetapi acara lain di sukan SEA bergantung kepada kelapangan masa mereka. Kiret berkata Dhol Riderz akan berada di Stadium Shah Alam Sabtu ini untuk perlawanan Malaysia Vs Indonesia. Jadi kalau terserempak dengan Dhol Riderz, jangan lupa untuk kata hai dan layan muzik bhangra mereka. Memang menari tak henti kalau anda duduk bersama mereka nanti. Ok go Dhol Riderz!