Presiden Rusia Vladimir Putin berkata bahawa penghinaan terhadap Al-Quran, kitab suci bagi umat Islam, tidak dilihat sebagai satu jenayah di beberapa negara, bagaimanapun di negaranya, individu yang berbuat demikian boleh dihukum. Media Turki Anadolu Agency memetik kata-kata Putin bahawasanya, “Di negara kita, ini adalah jenayah mengikut Perlembagaan dan kanun keseksaan.”

Kenyataan presiden Rusia itu dibuat semasa lawatannya ke Derbent di Republik Autonomi Dagestan Persekutuan Rusia. Di sana, dia melawat masjid bersejarah Derbent dan bertemu wakil Islam dari Dagestan, menurut agensi itu.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Agensi berita Rusia TASS melaporkan bahawa Putin turut menerima senaskhah Al-Quran sebagai hadiah semasa lawatannya ke Masjid Juma dan baginya kenapa menghina Al-Quran sebagai satu jenayah adalah kerana ia kitab suci bagi umat Islam.

“Al-Quran adalah suci bagi umat Islam dan sepatutnya suci bagi orang lain,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada wakil atas pemberian itu, ”Kami akan sentiasa mematuhi peraturan ini.”

Kenyataan Putin ini hadir selepas seorang lelaki mengoyak dan membakar senaskah Al-Quran di luar masjid Stockholm di Sweden pada minggu lalu, lapor media antarabangsa. Selain itu, beberapa siri tunjuk perasaan yang menentang Islam juga telah menyebabkan beberapa negara Islam tidak senang duduk.

Selain itu, pada bulan Januari tahun ini, apabila insiden serupa berlaku di Sweden, Kementerian Luar Rusia telah membidas pembakaran Al-Quran “sebagai satu lagi tindakan provokatif Islamofobia. Tindakan menghina ini akan menimbulkan reaksi keras oleh dunia Islam, termasuk masyarakat Islam Rusia,” kata jurucakap Maria Zakharova pada sidang akhbar.

Rusia Hantar Individu Hina Islam Ke Wilayah Penduduk Islam Di Rusia

Menurut laporan Middle East Monitor, sesiapa yang didapati bersalah membakar al-Quran perlu menjalani hukuman di wilayah yang majoriti penduduknya adalah mereka yang beragama Islam.

“Mereka akan menjalani hukuman mereka, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kehakiman, di kawasan yang terletak di salah satu wilayah di Rusia dengan penduduk majoriti Muslim,” kata Putin.

Menteri Kehakiman Rusia Konstantin Chuichenko pula mencadangkan “selepas keputusan itu diluluskan, mereka yang melakukan jenayah itu harus dihantar untuk menjalani hukuman di salah satu institusi yang terletak di rantau ini dengan penduduk yang majoritinya beragama Islam.”

Kenyataan Putin ini dibuat selepas Nikita Zhuravel, seorang penduduk kota Volgograd ditahan bulan lalu selepas disyaki membakar naskhah al-Quran di hadapan sebuah masjid.

Perbuatan itu, yang dirakam, mencetuskan kemarahan di Rusia, khususnya republik Chechnya yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam. Selain itu beribu orang turut membantah penghinaan ke atas kitab suci tersebut.

Menurut Moscow Times, peguam dan aktivis telah memberi amaran bahawa keputusan untuk memindahkan kes Zhuravel bakal meletakkan dia berada dalam risiko diseksa atau kematian.