CIMB Group Holdings Bhd kini dilaporkan sedang menilai kemungkinan untuk menarik keluar anak syarikatnya, Bank CIMB Niaga Tbk PT, daripada Bursa Efek Indonesia (IDX) dan menjadikannya entiti persendirian.

Penilaian pasaran yang tertekan serta desakan kawal selia yang ketat menjadi punca utama gergasi perbankan ini mempertimbangkan semula kewajaran mengekalkan status senarai bank keenam terbesar Indonesia itu.

Dilema Syarat Baharu Saham Awam

Bermula Mac 2026, Bursa Efek Indonesia bersama Otoritas Jasa Keuangan menetapkan peraturan baharu yang mewajibkan syarikat tersenarai mempunyai apungan saham awam minimum sekurang-kurangnya 15 peratus, meningkat berbanding 7.5 peratus sebelum ini lapor The Star.

Ketika ini, CIMB menguasai 92.46 peratus pegangan dalam CIMB Niaga, meninggalkan pegangan pelabur awam pada paras 7.54 peratus sahaja.

Usaha untuk menambah pegangan saham awam secara berperingkat menjelang 2028 kini berdepan jalan berliku, ditambah pula dengan risiko agensi indeks MSCI menurunkan taraf pasaran modal Indonesia daripada pasaran pesat membangun kepada pasaran berdiri sendiri.

Situasi ini dikhuatiri bakal menyukarkan usaha penjualan saham kepada pelabur luar.

Penswastaan Jadi Pilihan Paling Praktikal

Menurut penganalisis, tiga pilihan utama sempat dibincangkan dalam taklimat kewangan bersama Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan CIMB, Khairul Rifaie.

Pilihan tersebut melibatkan penempatan saham kepada pelabur strategik, tawaran awam permulaan semula (re-IPO), atau penswastaan penuh.

Melihat kepada sentimen pasaran semasa yang muram, langkah penswastaan dilihat sebagai jalan paling berwibawa.

Daripada tergesa-gesa menjual baki saham pada harga diskaun semata-mata untuk mematuhi kuota, langkah mengambil alih sepenuhnya pemilikan memberi CIMB fleksibiliti operasi untuk menyusun strategi jangka panjang mereka di Indonesia.

Kemampuan Kewangan CIMB

Dari segi kos, penganalisis menganggarkan CIMB perlu membelanjakan sekitar RM600 juta hingga RM800 juta untuk membeli baki 7.5 peratus pegangan minoriti.

Jumlah ini dilihat tidak membebankan kedudukan kewangan CIMB kerana kumpulan perbankan itu sudah pun memiliki lebihan modal sekitar RM850 juta hasil daripada penjualan perniagaan pembiayaan automotif di Thailand.

Walaupun berdepan tekanan margin faedah dan pasaran bon, prospek jangka panjang CIMB kekal kukuh dengan sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) bagi tahun 2026 kekal pada 11 peratus hingga 11.5 peratus. Prestasi ini terus disokong oleh cawangan Singapura dan Thailand.

Keputusan kewangan suku ketiga CIMB Niaga bakal diumumkan pada 28 Oktober ini, disusuli laporan Kumpulan CIMB pada 25 November depan bagi menentukan babak seterusnya.