Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang dikeluarkan pada 24 April lalu menyaksikan peningkatan dicatatkan dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) mencatatkan pencapaian daripada 4.60 pada 2023 kepada 4.49.
Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2024 adalah sebanyak 14,179 atau 3.7 peratus.
Baca Juga:
- TVET Perkenalkan Kursus Berkaitan Teknologi Dron Dan ‘Artificial Intelligence’
- Senarai Sekolah Terbaik Keputusan SPM 2024
- UMW Toyota Labur RM20 juta, Lahirkan 7,000 Graduan Berkemahiran Tinggi
Bagaimanapun turut ada yang tidak bernasib baik apabila seramai 1,789 calon didapati gagal dalam semua mata pelajaran atau dapat semua G yang diambil.
Bagi yang meraih keputusan cemerlang, pastinya ia merintis peluang cerah untuk diberikan peluang melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang nyata mempunyai banyak kelebihan dan kemudahan.
Namun, bagi mereka yang mungkin kecewa dengan keputusan SPM, penting untuk diingat bahawa keputusan peperiksaan tidak menentukan segalanya.
Kejayaan dalam hidup bukan hanya terukur pada angka di atas kertas. Jadi, apa yang perlu dilakukan jika keputusan SPM anda kurang baik?
Berikut adalah beberapa langkah bijak yang boleh membantu untuk merancang masa depan dengan lebih positif:
1) Ambil masa untuk terima dan reda
Keputusan kurang baik yang diterima semestinya membuatkan anda kecewa tetapi jangan terlalu terbawa-bawa dengan kekecewaan tersebut.
Ambil masa untuk terima hakikat, kemudiannya susun strategi terbaik untuk bergerak ke depan.
2) Elak membandingkan diri dengan orang lain
Mungkin kawan-kawan yang cemerlang akan kongsikan keputusan mereka tetapi sedarlah perjalanan hidup setiap orang berbeza. Begitu juga dengan usaha yang telah dicurahkan.
Fokus kepada diri sendiri untuk bangkit dan jangan bandingkan dengan orang lain.
3) Kenal pasti minat dan kekuatan diri
Kadangkala keputusan akademik seperti SPM kurang baik bukan kerana anda tidak pandai tetapi mungkin ia tidak sesuai dengan minat anda.
Oleh itu, cari apa yang anda minat dan fokus untuk terus serius dalam bidang atau kemahiran tersebut.
Pilih jalan berdasarkan kekuatan dan minat sebenar anda.
4) ‘Survey’ laluan pendidikan alternatif
Sekiranya anda tidak berjaya ke IPTA, jangan putus harapan kerana banyak lagi pilihan untuk anda melanjutkan pelajaran.
Anda masih mempunyai banyak pilihan seperti Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Program Sijil dan Diploma Profesional serta bagi yang berkemampuan boleh ke Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Beberapa tempat ini hanya perlukan kelulusan asas untuk anda melanjutkan pengajian di sana, jadi peluang masih luas!
5) Belajar kemahiran baharu yang relevan dengan dunia pekerjaan
Kadangkala, kemahiran praktikal jauh lebih berharga dan dicari berbanding sekeping sijil akademik.
Dalam dunia yang semakin pesat berkembang, kursus-kursus pendek dalam bidang-bidang seperti coding, graphic design dan pemasaran digital semakin mendapat perhatian kerana ia menawarkan kemahiran yang sangat relevan dengan keperluan industri masa kini.
Selain itu, terdapat juga banyak kelas praktikal yang memberi peluang untuk mengasah kemahiran yang boleh diterjemahkan ke dalam bisnes sendiri.
Kursus dalam baking (membuat kek dan pastri), sebagai contoh, bukan sahaja memberi peluang untuk bekerja di industri makanan dan minuman, tetapi juga memberi peluang untuk memulakan perniagaan roti atau kek secara kecil-kecilan dari rumah.
Kemahiran lain seperti menggunting rambut, mekanik dan fotografi juga bukan sahaja membuka peluang untuk anda memasuki pasaran kerja dengan segera, tetapi juga memberi ruang untuk anda memulakan perniagaan sendiri.
6) Cari pengalaman dunia sebenar
Jika belum berpeluang untuk melanjutkan pelajaran, mencari kerja sambilan adalah langkah yang bijak.
Pengalaman kerja awal memberikan peluang untuk belajar pelbagai kemahiran penting seperti disiplin, komunikasi, dan kerja berpasukan, yang sering kali tidak diajar di dalam bilik kuliah.
SPM Dah Berlalu, Bangun Adik-Adik!
Tak kira apa jua keputusan anda terima dalam SPM, lebih penting apa yang adik-adik akan lakukan selepas ini.
Bangun, gerak dan jangan berhenti. Masa depan tetap ada untuk orang yang berani berubah dan berdisiplin tinggi dalam diri.