Setelah menjadi perbualan hangat semalam, kerajaan akan meneliti semula keputusan menghentikan tol percuma pada musim perayaan pada Mesyuarat Jemaah Kabinet, Jumaat ini.

Memetik laman Buletin TV3, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihaknya bersedia untuk menerima pandangan pelbagai pihak.

Kerajaan Bakal Teliti Semula Keputusan Henti Pemberian Tol Percuma
Sumber Gambar: Sinar Harian

“Kerajaan sedang meneliti, seperti yang disebut oleh Menteri Kerja Raya semalam, langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat, sama ada dari segi kos sara hidup mahupun dari segi kesesakan lalu lintas.

“Kedua-dua perkara ini penting. InsyaAllah, Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu ini bila sekembalinya Perdana Menteri dari lawatan luar negara.

“InsyaAllah, mesyuarat Jemaah Menteri pada hari Jumaat, saya percaya akan membincangkan perkara ini dan kita tunggu hasil perbincangan di peringkat Jemaah Menteri.” Katanya ketika ditemui media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Selain itu, pendekatan yang dinyatakan oleh Menteri Kerja Raya itu berdasarkan keputusan dasar yang telah dibuat sebelum ini.

Bagaimanapun, Fahmi Fadzil percaya kerajaan akan menerima pandangan daripada pelbagai pihak dan mengkaji langkah tepat untuk masa depan.

Difahamkan kerajaan menanggung kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya menerusi pelaksanaan tol percuma.