Siapa sangka, walaupun kita semua dah lali ‘berkampung’ dalam kesesakan lalu lintas setiap hari di Lembah Klang, nampaknya jumlah kenderaan di jalan raya tidak akan dikurangkan dalam masa terdekat.

Kerajaan bagaimanapun menegaskan tiada rancangan segera untuk memperkenalkan dasar mengehadkan pemilikan kenderaan buat masa ini, meskipun laporan mengenai kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing di Lembah Klang terus meningkat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan bahawa setakat ini tiada dasar khusus yang dirangka untuk menyekat jumlah kenderaan di jalan raya, memandangkan isu sekatan pemilikan merupakan perkara yang sensitif untuk dilaksanakan.

“Sebarang strategi jangka panjang perlu mempertimbangkan keseimbangan antara keperluan mobiliti, faktor ekonomi, dan penerimaan orang awam,” jelas beliau selepas menyempurnakan majlis agihan cenderamata Tahun Baru Cina kepada penumpang KTM baru-baru ini lapor NST.

Faktor Bermusim dan Cabaran Struktur

Kerajaan Belum Rancang Hadkan Jumlah Kereta Biarpun Kesesakan Menghimpit
Sumber Gambar: FB lokesiewfook

Menurut Loke, kesesakan luar biasa telah menjadi pola berulang, terutamanya menjelang sambutan perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Ramadan.

Hal ini dipacu oleh peningkatan aktiviti sosial seperti makan malam syarikat, urusan membeli-belah, dan trend pulang ke kampung lebih awal.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan hakikat cabaran struktur yang mendepani sistem pengangkutan negara.

Dengan catatan jualan mencecah 820,000 unit pada tahun lalu, Malaysia kini muncul sebagai pasaran kenderaan terbesar di Asia Tenggara—satu pencapaian yang luar biasa memandangkan saiz populasi kita yang lebih kecil berbanding Indonesia.

Ringkasnya, jumlah kereta yang dibeli rakyat Malaysia jauh lebih cepat daripada pembinaan jalan baru. Akibatnya, timbul jurang besar antara bilangan kereta dengan ruang jalan raya yang semakin sempit.

Inisiatif Pengangkutan Awam sebagai Alternatif

Kementerian Pengangkutan kini memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memperluas dan mengoptimumkan perkhidmatan pengangkutan awam, khususnya bagi menangani kesesakan pada waktu puncak. Langkah-langkah strategik yang dilaksanakan adalah seperti berikut:-

1. Peningkatan Kekerapan Perkhidmatan

Pihak kementerian komited untuk menambah frekuensi perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) serta meningkatkan kapasiti tren KTM Komuter bagi memastikan lebih banyak perjalanan tersedia untuk penumpang.

2. Transformasi Digital

Sistem digital akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memantau dan meningkatkan kadar penggunaan tempat duduk, sekali gus memastikan operasi pengangkutan lebih cekap dan sistematik.

3. Penyegerakan Projek LRT3

Proses pembukaan Laluan LRT Shah Alam (LRT3) akan dipercepatkan. Langkah ini bertujuan untuk menyediakan pilihan laluan alternatif kepada pengguna serta mengurangkan beban kesesakan di koridor trafik sedia ada.

Melalui inisiatif ini, kementerian berharap dapat menyediakan sistem pengangkutan yang lebih lancar, selesa, dan mampu memenuhi permintaan rakyat yang semakin meningkat.

Meskipun begitu, Loke mengakui bahawa skala penambahbaikan pengangkutan awam masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah jutaan kenderaan yang memasuki lebuh raya setiap hari.

Beliau turut menjelaskan bahawa kelewatan pembukaan LRT3 adalah disebabkan oleh keperluan mendesak untuk memenuhi penilaian teknikal mandatori dan pematuhan piawaian keselamatan.

“Kami mahu LRT3 beroperasi secepat mungkin, namun semua fasa ujian keselamatan mesti diselesaikan terlebih dahulu,” tambah beliau.

Buat masa ini, kementerian terus menjalankan kajian terperinci mengenai pendekatan dasar jangka panjang yang lebih mampan bagi menangani kemelut kesesakan ini.