Tradisi Pacu Jalur, perlumbaan perahu panjang yang menjadi ikon budaya masyarakat Kuantan Singingi, Riau, kembali jadi perbualan hangat kerana didakwa ianya telah dituntut sebagai warisan budaya oleh netizen Malaysia, lapor Detik.

Ramai pengguna internet di Indonesia mendakwa budaya ini cuba “diambil alih” oleh negara jiran.

Tradisi

Kenyataan rasmi telah pun dikeluarkan oleh Gabenor Riau, Abdul Wahid, yang menegaskan bahawa budaya Pacu Jalur adalah milik sah Bumi Lancang Kuning, berakar dari sejarah panjang sejak tahun 1890 dan mungkin lebih awal.

“Setiap peristiwa budaya, memang ada asimilasi. Tapi kalau kita tengok pada fakta dan sejarah, Pacu Jalur ini berasal dari Kuantan Singingi. Ia sudah wujud sejak zaman Belanda lagi,” kata Abdul Wahid.

Tradisi 100 Tahun

Tradisi Pacu Jalur bukan sekadar perlumbaan air – ia adalah lambang budaya, tradisi nenek moyang yang berakar dalam kehidupan masyarakat tempatan.

Tradisi

Dahulunya, perahu panjang yang dipanggil ‘jalur’ ini digunakan sebagai alat pengangkutan merentasi Sungai Kuantan.

Ia membawa hasil tani, barang dagangan, dan menjadi nadi ekonomi masyarakat di kedua-dua belah sungai.

Nama ‘jalur’ sendiri berasal daripada perkataan ‘menjulur’, yang menggambarkan bentuk perahunya yang panjang.

Tradisi

Dalam zaman penjajahan Belanda, perlumbaan ini dijadikan sebahagian acara rasmi seperti sambutan ulang tahun Ratu Wilhelmina.

Kini, Pacu Jalur bukan hanya sekadar tradisi – ia telah berkembang menjadi acara nasional, berlangsung setiap tahun menjelang Hari Kemerdekaan Republik Indonesia.

Sejak 2014, ia juga telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Takbenda oleh Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi Indonesia (Kemendikbudristek).