Kutipan daripada Permit Masuk Kenderaan (VEP), yang dikeluarkan kepada kenderaan Singapura yang memasuki Malaysia, dijangka melebihi RM100 juta tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Memetik The Star, beliau berkata jumlah kutipan daripada VEP tahun lepas berjaya mencecah RM91,037,040 juta.
Baca Juga:
- Malaysia Jana Keuntungan RM87 Juta Dari Rakyat Singapura
- ‘Mereka Buat Boleh, Kita Tak Boleh’ – Netizen Kecam Warga Singapura Tak Puas Hati Sistem VEP
- Jaminan Denda Tak Dikenakan Serta-Merta, Jumlah Kereta Singapura Masuk Malaysia Kembali Normal
“Dengan jangkaan peningkatan kenderaan dari Singapura yang memasuki Johor tahun ini, saya menganggarkan kutipan akan melepasi RM100 juta,” kata Anthony Loke.
Hasil kutipan kerajaan disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.
“Daripada RM20 yang dikutip daripada setiap VEP, RM5 dikembalikan kepada kerajaan Johor.
“Kami akan berunding dengan Kementerian Kewangan untuk kutipan VEP disalurkan untuk tujuan pengangkutan awam di Johor.”
Rundingan akan diadakan dengan Kementerian Kewangan mengenai cara menambah baik pengangkutan awam di Johor dengan hasil yang dijana daripada VEP, katanya menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) di Dewan Rakyat semalam.
Menurut Anthony Loke lagi, terdapat 89,818 perjalanan melibatkan pelbagai kenderaan telah menyeberang dari Johor ke Singapura setakat bulan lepas.
Beliau berkata kenderaan ini telah melalui Tambak dan Link Kedua.
Daripada jumlah itu, katanya 31,194 adalah kereta, 53,000 motosikal, 3,531 bas komersial dan 2,093 lori komersial.
Sebaliknya, Loke berkata terdapat 4,397,229 kenderaan dari Singapura memasuki Johor dari dua pintu masuk setakat bulan lepas.