Mahkamah Tinggi memerintahkan Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar ganti rugi RM10,000 sehari kepada keluarga Pastor Raymond Koh bermula dari tarikh beliau diculik sehingga pihak berkuasa mendedahkan keberadaannya.

Memetik Harian Metro, Hakim Datuk Su Tiang Joo yang membenarkan saman dikemukakan keluarga Pastor Koh, dalam penghakiman hari ini memutuskan kerajaan dan polis bertanggungjawab di atas kehilangan lelaki itu yang dilaporkan diculik pada 13 Februari 2017.

Baca Juga:

Tanggungjawab itu membabitkan kecuaian, penyalahgunaan kuasa awam, pelanggaran tanggungjawab statutori dan pencabulan kebebasan asasi dalam kes kehilangan lelaki berkenaan.

Tiang Joo memutuskan, satu atau lebih defendan, yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terbabit dalam penculikan Raymond dan bertindak mengikut ‘satu arahan’ lapan tahun lalu.

Raymond diculik ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya dan sehingga kini, beliau sudah hilang selama 3,188 hari.

Isteri Raymond, Susanna Liew, memfailkan saman itu terhadap polis dan kerajaan berhubung dakwaan pembabitan kerajaan dalam kehilangan suaminya dan cara pihak berkuasa menyiasat kes terbabit.

Dalam penghakimannya, Tiang Joo memerintahkan PDRM menjalankan semula siasatan kehilangan Raymond berdasarkan dapatan Pasukan Petugas Khas dan menyerahkan laporan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap dua bulan.

Beliau turut mengarahkan Ketua Polis Negara menggugurkan empat pegawai polis yang terbabit dalam siasatan terdahulu dan digantikan dengan pegawai lain yang tidak mempunyai sebarang pertalian dengan kes berkenaan.

“Kegagalan polis menjalankan siasatan bermakna dalam tempoh panjang walaupun mempunyai akses awal kepada maklumat penting adalah satu bentuk pengabaian tanggungjawab statutori di bawah Seksyen 3(3) Akta Polis 1967.

“Sikap sambil lewa dan tindakan menyembunyikan maklumat daripada plaintif mengukuhkan dakwaan bahawa pegawai terbabit bertindak dengan niat jahat dan melampaui batas kuasa mereka,” katanya.

Sumber