Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Rabu (22 Oktober 2025) meminta semua persekutuan sukan antarabangsa tidak menganjurkan sebarang acara sukan di Indonesia, selepas Jakarta menolak permohonan visa untuk atlet Isra*l.

Langkah itu diambil selepas Indonesia enggan memberikan visa kepada pasukan Isr*el yang sepatutnya bertanding dalam Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik 2025 yang sedang berlangsung di Jakarta.

Kerajaan Indonesia menegaskan bahawa keputusan itu dibuat sebagai tanda protes terhadap serangan ketenteraan Israel ke atas G*za.

Keputusan tersebut mencetuskan kritikan keras daripada Persekutuan Gimnastik Is*ael (IGF) yang menyifatkannya sebagai tindakan berbahaya dan menjadi amalan buruk, selain turut mempertikaikan peranan Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) dalam menangani isu itu.

IGF berkata mereka sebelum ini telah mendapat jaminan bahawa atlet I*rael akan dibenarkan bertanding dalam kejohanan berkenaan.

Salah seorang atlet yang terkesan ialah Artem Dolgopyat, juara bertahan acara lantai di Kejohanan Dunia. Atlet berusia 28 tahun itu merupakan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020 dan pingat perak Olimpik Paris 2024, selain dua kali menjuarai Kejohanan Eropah.

IGF turut mengemukakan rayuan kecemasan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) agar pasukan Israel dibenarkan bertanding, atau kejohanan itu dipindahkan ataupun dibatalkan. Namun, rayuan tersebut ditolak oleh CAS.

IOC hentikan kerjasama dengan Indonesia

Menurut laporan BBC, IOC memaklumkan bahawa mereka tidak dapat menemui penyelesaian berhubung larangan tersebut.

Dalam kenyataan rasmi selepas mesyuarat lembaga eksekutif minggu ini, IOC mengumumkan bahawa mereka menghentikan semua bentuk dialog dengan Jawatankuasa Olimpik Indonesia (NOC Indonesia) berkaitan penganjuran Sukan Olimpik, Olimpik Remaja, acara dan persidangan lain pada masa akan datang.

Menurut Jerusalem Post, keputusan itu bermaksud permohonan Indonesia untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2036 akan digantung, termasuk acara dan termasya sukan berkaitan, sehingga kerajaan Indonesia memberikan jaminan bahawa atlet dari semua negara akan dibenarkan mengambil bahagian tanpa pengecualian.

Selain itu, Indonesia tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Isr*el.

IOC menegaskan bahawa mereka menekankan prinsip keterbukaan sukan antarabangsa. Dalam mesyuarat tersebut, IOC turut meminta NOC Indonesia dan FIG hadir ke ibu pejabat IOC di Lausanne, Switzerland, bagi membincangkan isu ini dengan lebih mendalam.

IOC menegaskan semula kepentingan prinsip akses terbuka dan tanpa halangan kepada semua peserta dalam kejohanan antarabangsa.

“IOC mengingatkan semua pihak dalam Gerakan Olimpik tentang pentingnya akses bebas dan tanpa halangan ke negara tuan rumah supaya semua peserta dapat hadir dalam pertandingan antarabangsa,” demikian kenyataan rasmi lembaga eksekutif IOC.