England meraih kemenangan selesa pada aksi UEFA Nations League 2024 pada awal pagi tadi selepas membelasah Republik Ireland 5-0 di Stadium Wembley.

Dengan kemenangan dicatatkan, England menghuni tangga teratas kumpulan B League 2 dengan kelebihan defisit jaringan berbanding pencabar terdekat, Greece yang turut meraih 15 mata.

Baca Juga:

Skuad kendalian pengurus sementara, Lee Carsley itu terikat tanpa jaringan pada babak pertama dan kemudiannya mengganas hasil jaringan penalti Harry Kane, Anthony Gordon, Conor Gallagher, Jarrod Bowen dan Taylor Harwood-Bellis.

Di sebalik kemenangan besar itu, Persatuan Bola Sepak England pasti akan didenda oleh UEFA berikutan tindakan penyokong melaungkan sorakan ‘boo’ ketika lagu kebangsaan Ireland ‘ Amhran na bhFiann’ dimainkan sebelum perlawanan.

FA England kemungkinan tidak bersendirian kerana persatuan pasukan pelawat itu juga bakal dikenakan tindakan kerana penyokong mereka pantas membalas perlakuan tersebut ketika lagu God Save The King (lagu kebangsaan England).

Perkara tersebut nyata bukanlah perkara asing buat dua persatuan tersebut kerana pada pertemuan di Dublin pada September lalu kedua-duanya turut didenda kerana perlakuan sama.

FA England dikenakan denda bernilai £10,500 (hampir RM60,000) manakala FA Ireland pula sebanyak £8,400 (RM47,501).

England dikenakan denda lebih banyak berbanding Ireland kerana ia merupakan kesalahan kedua berturut-turut dimana sebelum ini penyokong mereka melakukanya terhadap Slovenia ketika Euro 2024.

Penyokong England seperti diketahui memang terkenal dengan insiden-insiden kurang baik apabila banyak melakukan masalah terutamanya sering terlibat dalam insiden pergaduhan di luar stadium.