Peperangan di antara Palestin dan Israel tersembunyi satu kisah sejarah yang cukup panjang. Apa yang lebih menyedihkan ianya bukan sekadar melibatkan barisan pemerintah sahaja, malah turut terkesan terhadap orang awam.
Seperti yang anda tahu, kebanyakkan dari hasil bumi Palestin dikawal oleh Israel dan yang paling terkesan adalah sumber bekalan minyak. Hidup dalam keadaan terdesak mendorong seseorang untuk berfikir dengan lebih kreatif.
Bagi mengatasi masalah ini, 2 orang pelajar Palestin dari Universiti Islam Al-Azhar Gaza telah mencipta kereta solar mereka sendiri. Idea ini diharapkan dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan bahan bakar di negara mereka.
Khalid al-Bardawil dan Jamal al-Miqaty, 2 orang pemuda ini mencipta kereta solar yang disifatkan sebagai menggunakan ‘kuasa tuhan’. Menurutnya, jika mereka (Israel) boleh menyekat minyak, namun mereka tidak mampu menyekat matahari.
Kereta solar dengan 3 roda dan 1 kerusi pemandu ini bersaiz kecil, satu rekabentuk yang sangat menarik. Kereta ini mampu bergerak dengan kelajuan sehingga 18 mph. Walaupun perlahan jika hendak dibandingkan dengan kereta biasa, tetapi ini merupakan satu inovasi yang sangat berguna untuk mereka.
Anda boleh lihat maklumat lebih terperinci tentang kereta solar ini melalui video prototaip yang dipaparkan dibawah.
Dalam satu temubual, mereka menjelaskan bahawa kereta dicipta bukan untuk bergaya tetapi sebaliknya adalah untuk kegunaan, itu yang lebih utama.
“Kami terpaksa mencipta sebuah jentera untuk melakukan perubahan, tetapi untuk merialisasikannya bukanlah sesuatu yang mudah”. Kata mereka.
Dalam dunia kejuruteraan yang sebenar bukan mudah untuk merialisasikan sesuatu projek jika anda mempunyai bajet yang terhad, tetapi kreativiti tidak mempunyai had.