Louis Saha merupakan antara penyerang yang digeruni dalam saingan English Premier League (EPL) dimana beliau pernah menyarung jersi Fulham, Manchester United, Everton dan beberapa pasukan lagi.

Mengumumkan persaraan pada 8 Ogos 2013, Saha tidak menunggu lama untuk beralih ke dunia perniagaan apabila beliau menubuhkan sebuah rangkaian sosial untuk ahli sukan dan selebriti terkenal.

Perniagaan diusahakan Louis Saha

Rangkaian yang dinamakan Axis Stars ini membolehkan atlet berkomunikasi, berkongsi tips dan pengalaman mereka semasa bertanding di peringkat elit dalam sukan masing-masing.

Bekas pemain skuad kebangsaan Perancis itu mahu menggunakan pengalamannya dalam bola sepak untuk membangunkan cadangan bagi menyokong atlet dan individu terkenal dalam karier mereka.

Louis Saha
Kredit Foto: Everton Football Club

Menurut sumber informasi laman sesawang syarikat tersebut, Axis Stars adalah sebuah komuniti yang memudahkan hubungan autentik dan saling menguntungkan antara atlet profesional dan penghibur, rakan sebaya mereka dan rakan kongsi yang dipercayai.

Louis Saha menubuhkan rangkaian ini bersama Kate Hamer dan eksekutif teknologi Patrice Arnera serta bekas pakar pemasaran Manchester United, Mike Farnan.

Sejak itu, Axis Stars telah berkembang dengan pesat dimana pada ketika ini telah mempunyai ribuan pengguna, termasuk sekitar 550 bekas atlet profesional.

Louis Saha
Louis Saha bersama Claude Makelele di Johor Bahru ketika bagi menghadiri ‘JDT All-Stars Friendly’ pada 2019. Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Menurut sumber laporan Sport Bible, perolehan syarikat tersebut semakin memberangsangkan dengan nilai berjumlah £3.5 bilion. Manakala, harta kekayaan Saha juga dikatakan sudah mencecah £4.3 bilion.

Keberhasilan besar yang dicapai oleh Axis Stars menunjukkan betapa Saha telah berjaya mengaplikasikan pengalamannya dalam dunia bola sepak ke dalam perniagaan.

Melalui platform ini, Saha berjaya mewujudkan ruang yang selamat dan bermanfaat bagi atlet dan selebriti terkenal untuk berhubung, berbincang dan berkembang bersama.

Rangkaian ini bukan sahaja memberi peluang untuk berkongsi pengalaman tetapi juga membolehkan mereka mendapatkan sokongan dari rakan sebaya serta rakan kongsi yang dipercayai dalam industri masing-masing.

Lebih penting langkah ini memberikan hasil lumayan buat Saha meskipun beliau sudah lama meninggalkan kancah bola sepak profesional.