Enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan hari ini kerana didapati membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.
Memetik Harian Metro, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula tuduhan bunuh terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
“Mahkamah memutuskan hanya satu hukuman terhadap keenam-enam OKT iaitu mereka perlu dibawa ke suatu tempat penggantungan di mana di sana mereka akan digantung sampai mati.
“Rayuan pendakwaan dibenarkan, hukuman penjara selama 18 tahun ditolak,” kata Hadhariah yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.