Tular di media sosial bukanlah lesen untuk mana-mana pihak melemparkan tuduhan sesuka hati tanpa usul periksa.

Dalam isu insiden kekecohan penangkapan anjing liar yang menjadi bualan ramai, pemuda berusia 24 tahun, Muhammad Shah Hizam, kini menuntut keadilan berikutan pelbagai bentuk penghinaan dan ancaman melampau yang dilemparkan terhadap dirinya.

Mohon Maaf Kepada Mangsa, Bukan Kepada Pengikut

Bercakap dalam satu sidang akhbar #Justiceforshah lapor Kosmo online, peguam yang mewakilinya, Muhammad Rafique Rashid Ali, menegaskan bahawa mana-mana pihak yang didakwa menghina perlu berani tampil memohon maaf secara terus kepada Shah.

Status seseorang sama ada sebagai pempengaruh, artis, selebriti mahupun netizen langsung tidak memberi kebenaran untuk menyebarkan tuduhan melulu.

Beliau mengakui ada beberapa pihak yang sudah membuat permohonan maaf secara terbuka, namun permohonan maaf itu sepatutnya ditujukan terus kepada mangsa yang terkesan.

“Walau mempunyai sehingga 500,000 pengikut di media sosial, permohonan maaf yang dibuat kepada akaun sendiri tidak menyelesaikan isu utama.

Orang yang benar-benar memerlukan ucapan maaf itu ialah Shah, bukannya para pengikut di media sosial.

Buli Siber Dan Ancaman Yang Melampaui Batas

Tindakan sesetengah pihak yang bertindak di luar kawalan turut mendapat perhatian serius pihak guaman. Antara hantaran yang amat mengecewakan adalah tulisan dan video yang seolah-olah menghukum Shah dengan meminta supaya dia dihukum mati.

Malah, terdapat juga ancaman fizikal terhadap tubuh badan Shah serta ahli keluarganya.

Lebih melampau, identiti serta wajah pemuda itu disebarkan secara meluas, termasuk tindakan menyunting wajahnya pada badan anjing. Pihak peguam menggesa masyarakat untuk meletakkan diri di tempat mangsa.

Pada usia 24 tahun, Shah mempunyai masa depan yang masih panjang, keluarga, serta rakan-rakan. Bayangkan perasaan itu jika perkara sebegini berlaku kepada ahli keluarga sendiri seperti anak, suami, isteri, atau rakan karib.

Bukti Digital Dikumpul Untuk Tindakan Undang-Undang

Pihak peguam tidak akan berpeluk tubuh dan mahu menghantar mesej yang sangat jelas. Segala bentuk ancaman, penyebaran maklumat peribadi, serta hantaran berunsur fitnah dan penghinaan sedang dipelihara secara teliti sebagai bukti.

Segala tangkapan layar, pautan kandungan, tarikh penerbitan, jumlah tontonan, serta butiran berkaitan dikumpulkan secara menyeluruh. Ini termasuk tindakan ke atas mana-mana pihak yang secara bertulis atau lisan menuduh Shah membunuh atau menyeksa haiwan berkenaan.

Mana Bukti Shah Membunuh Rocky?

Mengulas lanjut mengenai tuduhan kekejaman terhadap haiwan tersebut, pihak peguam mempertanyakan asas dakwaan bahawa Shah telah memukul anjing bernama Rocky itu sehingga mati.

Begitu mudah masyarakat membuat penghakiman sendiri tanpa mengetahui cerita sebenar atau melihat keseluruhan insiden yang berlaku.

Tiada bukti jelas yang menunjukkan bahawa haiwan itu mati disebabkan seksaan daripada Shah, dan perkara ini tidak sepatutnya dihukum hanya berdasarkan andaian melulu di media sosial.

Sumber