Musim cuti sekolah datang lagi, bukan saja jalan raya sesak—R&R juga alami situasi sama.
Baru-baru ini, sebuah video TikTok tular yang dimuat naik oleh Tokkhai, menunjukkan situasi di stesen Rehat dan Rawat (R&R) di Tanjung Malim, Perak, di mana barisan panjang untuk menggunakan tandas awam.
Dalam video tersebut, kelihatan barisan pengunjung yang panjang mengelilingi stesen minyak, menunggu giliran untuk melepaskan ‘hajat’ masing-masing.
Pemandangan ini mencetuskan pelbagai reaksi dari netizen yang membandingkan keadaan di R&R tersebut dengan kegilaan musim perayaan.
Rata-rata pengguna TikTok meluahkan rasa hairan mengapa jalan raya luar biasa sesak kali ini, dengan ramai menyamakan suasana tersebut dengan sambutan hari raya.
“Kenapa kali ni teruk sangat? Rasa macam waktu balik kampung raya je,” kata seorang pengguna.
Bagi sesetengah pelancong, mereka lebih rela ‘menahan’ daripada berdepan dengan barisan panjang itu.
Bukan sekadar menunggu, ada juga yang mengeluh tentang keadaan tandas yang kotor dan berbau.
“Tunggu lama-lama lepas tu masuk tandas busuk, baik aku tahan je,” tambah seorang lagi pengguna dengan nada kecewa.
Beberapa pengguna lain pula memberi penjelasan bahawa keadaan ini bukan perkara baru.
“Biasa la, hujung minggu pun penuh, apatah lagi musim cuti sekolah dan cuti umum macam sekarang,” ujar mereka.
Satu hal yang menarik, barisan yang sesak hanya berlaku di tandas wanita, manakala tandas lelaki dilaporkan tidak menghadapi masalah yang sama.