Pada hari ini semakin banyak jenama-jenama automotif dari China bertapak dalam pasaran Malaysia.

Bagi mendapatkan pelanggan dan jualan, strategi ‘perang harga’ digunakan oleh mereka.

Baca Juga:

Perang harga yang dibuat oleh jenama-jenama China terbabit berpotensi memberi kesan negatif kepada industri automotif tempatan, terutamanya pengeluar peralatan asal (OEM) yang menjalankan operasi pembuatan di Malaysia.

Perkara itu didedahkan orang penting Proton Holdings Bhd (PROTON), Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif.

'Industri Automotif Tempatan Terjejas' – Orang Penting PROTON Dedah Kesan Perang Harga Jenama China
Sumber Gambar: Zahid Izzani / The Edge Malaysia

Katanya, pemberian diskaun besar-besaran oleh jenama tertentu, walaupun menguntungkan pelanggan, turut memberi kesan berantai kepada vendor tempatan yang telah lama membekalkan komponen dan bahagian kenderaan, petik Berita Harian.

“Kesan perang harga ini bukan sahaja menjejaskan OEM yang memiliki kilang pembuatan dan pemasangan di negara ini, malah memberi impak kepada vendor serta pengedar tempatan.

“Keadaan ini berlaku apabila lambakan stok meningkat susulan pelanggan lebih memilih kenderaan ditawarkan pada harga lebih rendah. Pada masa sama, terdapat pelanggan mengambil pendekatan tunggu dan lihat dengan harapan harga akan terus menurun,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau turut mendedahkan perang harga yang sedang berlaku turut memberi impak kepada pasaran kenderaan terpakai. Apabila penurunan harga secara drastik, ia menurunkan nilai jualan semula kenderaan.

“Sebagai contoh, jika sebuah kenderaan jenama A dibeli pada harga RM100,000, kemudian dijual pada harga lebih rendah, katakan RM80,000 selepas diskaun, ini akan memberi kesan besar kepada nilai susut harga kenderaan terbabit. Pasaran perniagaan tukar beli (trade-in) juga akan menerima impak negatif.

“Kesan ini membuatkan pelanggan lebih cenderung membeli kenderaan baharu kerana harganya lebih kompetitif berbanding kenderaan terpakai,” katanya.

OEM tempatan bergelut dengan jenama China
'Industri Automotif Tempatan Terjejas' – Orang Penting PROTON Dedah Kesan Perang Harga Jenama China
Sumber Gambar: Paultan.org

Roslan menyatakan OEM tempatan tidak berupaya menyaingi penurunan harga kenderaan seperti yang ditawarkan oleh jenama China disebabkan oleh kos operasi yang lebih tinggi, merangkumi kos pembuatan, vendor, dan keseluruhan rantaian bekalan.

“OEM perlu memastikan kelangsungan perniagaan. Kami tidak boleh menurunkan harga ke tahap terlalu rendah, namun boleh menawarkan diskaun atau promosi seperti rebat tunai dan pakej aksesori untuk mengimbangi harga pasaran,” katanya.

Roslan menyatakan bahawa PROTON mengambil pendekatan berhati-hati bagi memastikan keuntungan syarikat kekal terpelihara dalam jangka panjang.

Ini kerana syarikat itu bukan sahaja menggaji lebih 7,000 pekerja, malah turut melibatkan lebih 5,000 lagi dalam rangkaian jualannya.

“Vendor berskala besar mungkin boleh bertahan kerana mereka mempunyai perkongsian dengan jenama lain. Namun, vendor kecil yang bergantung kepada satu jenama pasti terkesan,” katanya.

Jenama luar miliki kelebihan
'Industri Automotif Tempatan Terjejas' – Orang Penting PROTON Dedah Kesan Perang Harga Jenama China
Sumber Gambar: Paultan.org

Jelasnya lagi, kebanyakan jenama yang menurunkan harga mendapat kelebihan melalui konsep import sepenuhnya (CBU) atau pemasangan separa (SKD), di mana nilai pelaburan jauh lebih rendah berbanding OEM tempatan seperti PROTON.

“Pelaburan mereka di Malaysia masih minimum. Oleh itu, mereka mampu menawarkan diskaun besar kerana kos operasi juga rendah. Namun, ini memberi tekanan kepada syarikat beroperasi di Malaysia dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau menegaskan pentingnya penilaian semula terhadap kesan perang harga ini bagi melindungi jenama-jenama yang telah lama bertapak dan menyumbang kepada pembangunan industri automotif di Malaysia.

“Kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) adalah sasaran kerajaan, namun kajian semula perlu dilakukan bagi memastikan jenama pemasangan tempatan (CKD) yang mempunyai kilang dan rangkaian vendor sendiri dapat terus berdaya tahan,” katanya.

Sumber